KERAGUAN terhadap akademik yang dimiliki pakar motivasi terkenal, Azizan Osman menimbulkan rasa ingin tahu netizen sehingga ada yang sanggup menjadi ‘penyiasat’ bagi mendapatkan kesahihan berkenaan sijil yang dimiliki pengasas Syarikat Richworks itu.
Baru semalam, syarikat Richworks mengeluarkan kenyataan bahawa Azizan Osman memegang kelulusan Doktor Sains (Metafizik) dari University Gordon, Amerika Syarikat sejak 2009.
Selain itu beliau juga dikatakan telah memenuhi semua syarat-syarat untuk Doktor Falsafah (Psikologi) dari Universiti Hertfordshire, United Kingdom dan akan menghadiri konvokesyen di institusi itu.
Penjelasan itu bagaimanapun tidak diterima baik netizen sekaligus ‘menjalankan’ siasatan sehingga ada yang menghubungi Universiti Hertfordshire melalui email dan laman Facebook universiti berkenaan.
Netizen memuat naik email yang diberikan kepada pihak Universiti Hertfordshire dan bertanyakan mengenai dakwaan Azizan yang memiliki Doktor Falsafah (Psikologi) daripada institusi itu.
Beliau juga dikatakan telah memenuhi syarat-syarat untuk menerima PhD itu dan dijangka akan menghadiri konvokesyen dalam masa yang terdekat.
Tidak cukup dengan email, netizen menggunakan medium perhubungan dengan sepenuhnya apabila bertanya menerusi mesej di Facebook rasmi milik University of Herfordshire.
Netizen tidak menunggu lama untuk pihak universiti memberi maklum balas mengenai persoalan yang diajukan.
Ini antara jawatan balas daripada pihak universiti itu sendiri dengan menyatakan tiada individu yang bernama Azizan Osman menjadi pelajar atau graduan daripada universiti berkenaan.
Lebih mengejutkan apabila gambar sekeping surat yang didakwa di hantar oleh University of Herfordshire dimuat naik dalam laman sosial hari ini.
Sudah tentu ada yang meragui surat berkenaan tetapi netizen tidak berhenti menyiasat sehingga seorang individu yang bernama Jerome yang menggunakan akaun institusi itu mengakui surat tersebut adalah kenyataan rasmi daripada pihak University of Herfordshire.
Dalam surat berkenaan mendedahkan University of Herfordshire tidak menganugerahkan PhD kepada individu yang bernama Azizan Osman dan tidak terdapat nama berkenaan dalam rekod pencarian institusi itu.
Menurutnya, maklumat yang diperolehi itu adalah palsu.
Tidak hanya menghubungi pihak universiti berkenaan melalui email dan laman sosial, ada netizen yang tinggal di United Kingdom mendakwa sudah menelefon institusi itu bertanyakan kursus PhD Psikologi yang ditawarkan dan ternyata bukan mudah untuk memilki sijil berkenaan kerana seseorang itu wajib memiliki ijazah bagi mengikuti kursus itu terlebih dahulu.
Lebih mengejutkan, tiada nama Azizan dalam rekod carian universiti itu dan sekaligus menambahkan lagi keraguan netizen terhadap pakar motivasi yang juga usahawan berjaya.
Nampaknya, pendedahan netizen ini dapat memberikan gambaran mengenai status akademik Azizan, namun tuan empunya diri yang mendakwa memiliki sijil akademik dari luar negara ini perlu tampil memberikan penjelasan dan bukan hanya berselindung ‘disebalik’ nama syarikat setiap kali membuat kenyataan balas.
Penjelasan yang dibuat bukan meredakan keadaan sebaliknya memberikan impak yang negatif bukan sahaja kepada Azizan tetapi juga syarikatnya yang sering menganjurkan kursus kepada usahawan dan mereka yang mahu memulakan perniagaan.
Malahan, ada juga netizen yang keliru dengan kenyataan syarikat Richworks sebelum ini kerana dianggap ‘berbelit’ seperti mahu menutup perkara yang sudah jelas nampak ‘pembohongannya’.
Rata-rata netizen mencadangkan supaya Azizan tampil memohon maaf atau memberi penjelasan mengenai pendedahan yang dilakukan di laman sosial selepas tercetusnya kontroversi berhubung status akademiknya sejak minggu lalu. -MYNEWSHUB.CC