IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menggesa usaha lebih besar dilakukan untuk membangunkan strategi pendidikan sesuai yang mengambil kira impak kemajuan teknologi untuk belia bagi memastikan generasi akan datang terus berkembang maju.
Selain itu, baginda bertitah pelaburan lebih besar perlu dibuat terhadap pengembangan pekerjaan alternatif kerana belia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya peluang pekerjaan yang semakin berkurangan.
Sultan Perak bertitah, selain daripada faktor demografi, sektor pekerjaan juga terancam dengan teknologi baharu dengan kalangan futuris percaya teknologi terkini dalam bidang robotik dan kecerdikan buatan akan mewujudkan pengangguran besar-besaran.
“Kini mesin-mesin boleh diprogram untuk menjalankan tugas melibatkan pemikiran serta kemahiran fizikal, malah boleh diprogram untuk menyampaikan perkhidmatan profesional.
“Walapun kesan pembangunan ini sukar dijangka dengan pasti, kadar ‘pengangguran teknologi’ kemungkinan besar akan memburukkan lagi masalah yang dicetuskan oleh pertambahan belia,” titah Sultan Nazrin ketika merasmikan Persidangan Dunia ketiga mengenai Pemikiran dan Tamaduan Islam 2016 (WCIT), di sini hari ini.
WCIT 2016 bertemakan “Dunia Masa Hadapan” yang bermula hari ini sehingga Khamis merupakan persidangan dwitahunan yang diadakan bagi membincangkan isu-isu semasa dan dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sejak 2012 dan dihadiri oleh peserta daripada 15 negara.
Titah Sultan Perak, pembangunan yang memberikan manfaat kepada ramai sejak berdekad lalu kini berada dalam bahaya dihakis oleh peningkatan jumlah belia sepertimana yang dialami oleh banyak negara membangun.
“Usaha mesti dibuat untuk melindungi manfaat ini dan menggalakkan lagi pembangunan, sepertimana yang kita lakukan di Malaysia menerusi Wawasan 2020, dengan fokusnya untuk mengukuhkan modal insan dan memperluaskan lagi kelas pertengahan.
“Penguncupan peluang pekerjaan, sama ada daripada tekanan pertumbuhan demografi atau kemajuan teknologi, juga memberikan risiko yang signifikan kepada belia hari ini,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah belia menyumbang kira-kira suku daripada populasi global, dengan kira-kira 1.8 bilion orang muda berumur antara 10 dan 24 tahun dan ketidakseimbangan itu tertumpu di negara-negara membangunan, dengan sembilan daripada 10 orang ialah belia.
Sultan Nazrin bertitah kemajuan besar telah dicapai di seluruh dunia dari segi peruntukan kesihatan dan pendidikan bagi generasi masa lalu dan beberapa negara populasinya majoriti Islam telah menyaksikan peningkatan hingga 25 peratus sejak 1990.
Peningkatan ketara boleh dilihat di dunia Islam, dari Kazakhstan dan Azerbaijan ke Algeria, Tunisia dan Maghribi serta seluruh Timur Tengah dan di sini di Asia Tenggara di Malaysia dan Indonesia, titah baginda.
Baginda bertitah beberapa generasi telah mendapat manfaat secara langsung daripada kemajuan yang turut disertai peningkatan pendapatan berkait rapat dengan pengukuhan modal insan yang menyumbang kepada produktiviti ekonomi.
“Ini mencerminkan ekonomi yang kukuh, lebih banyak peluang untuk hasilkan kemajuan, lebih ramai orang yang akan dapat manfaat daripada bidang kesihatan dan pendidikan,” katanya. – BERNAMA