KOTA KINABALU – Dua pegawai tinggi sebuah agensi kerajaan di sini, yang ditahan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion, akan membantu SPRM dalam proses memindahkan wang mereka yang disimpan di luar negara ke akaun di Malaysia dalam masa terdekat.
Sumber hari ini berkata proses memindahkan wang itu akan dibuat melalui bantuan ‘Mutual Legal Assistant’ (MLA).
Bagaimanapun, sumber itu tidak menyatakan jumlah wang mereka yang terdapat di luar negara.
“Setakat ini, SPRM telah mengambil keterangan 23 orang berhubung siasatan ‘Ops Water’. Seorang daripadanya adalah adik pengarah berkenaan,” kata sumber itu.
Pada Selasa, SPRM menahan pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah serta merampas RM114.5 juta daripada mereka, berikutan dakwaan penyelewengan itu.
Selain itu, SPRM merampas 127 geran tanah, sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan jenama mewah, jam tangan jenama mewah serta pelbagai jenama dan barang kemas.
Sumber itu berkata SPRM dijangka memanggil pegawai Jabatan Tanah dan Ukur negeri Sabah untuk menilai hartanah termasuk tanah perumahan, tanah pertanian dan premis komersil di beberapa lokasi di Sabah.
Kereta-kereta mewah yang dirampas daripada pengarah itu didapati dibeli menggunakan nama syarikat adiknya manakala timbalan pengarah pula dikesan membeli sebuah rumah di luar negara.
“SPRM juga sedang menyiasat sebuah syarikat yag menguruskan pengaliran wang milik timbalan pengarah itu,” kata sumber itu. – BERNAMA