KUALA LUMPUR – Cubaan seorang wanita warga emas untuk mengambil gigi palsu miliknya yang terjatuh ke dalam lubang tandas, membawa padah apabila mangsa terjatuh di situ.
Malah tangan kiri wanita berkenaan yang berusia 65 tahun juga dikatakan tersepit dalam lubang jenis cangkung itu, yang terletak di Anjung Singgah, Bangunan Ehsan, Jalan Hang Lekiu di sini hari ini
Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 7.47 pagi.
“Tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah di ibu negara, bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Samsol berkata, mangsa berjaya diselamatkan dan gigi palsunya juga ditemui setelah pasukan bomba menggunakan alat pemecah konkrit bagi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit pada 11.32 pagi.
“Wanita berkenaan yang juga anggota pasukan Rela itu hanya mengalami cedera ringan serta luka dan bengkak di bahagian tangan kirinya,” kata beliau lagi.
Mangsa dikhuatiri mengalami komplikasi gangren sekiranya aliran darah di tangannya itu tidak lancar berikutan dia merupakan pesakit diabetes.
Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan yang lebih lanjut. – BERNAMA