KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini kecoh seketika apabila seorang tertuduh, yang baru dijatuhi hukuman denda kerana menampar seorang pengawal keselamatan, melarikan diri ketika prosiding itu masih berlangsung.
Saiful Anuar Abdul Halim, 24, yang berada di dalam kandang tertuduh, kelihatan panik lalu berlari keluar semasa Majistret Adira Adnan menjatuhi hukuman denda RM1,800 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda itu.
Lelaki itu, yang memakai kemeja T berbelang hitam putih, kelihatan memberi isyarat kepada tunangnya yang berada di dalam galeri awam, supaya turut melarikan diri namun, tunangnya tidak berbuat demikian.
Susulan tindakan tertuduh, tiga anggota polis mahkamah mengejarnya dari Tingkat Tiga sehingga ke pondok pengawal keselamatan di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini namun, dia dapat meloloskan diri.
Ketika ditemui pemberita, tunangnya yang enggan dikenali berkata beliau hairan dengan tindakan tertuduh kerana beliau telah menyediakan wang secukupnya untuk membayar denda.
Mahkamah Majistret mendapati Saiful Anuar bersalah menyebabkan kecederaan dengan menampar pipi seorang pengawal keselamatan warga Nepal, Krishna Dev Tharu, 31, kerana menghalangnya memasuki premis di Jalan Sultan Ismail di sini pada 9.40 malam, 16 Sept lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan insaf dengan perbuatannya. – BERNAMA