Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Malaysia Terus Kuasai Sukan...

SINGAPURA - Malaysia terus menguasai acara terjun pada Sukan SEA Singapura hari ini...

Pulau Pinang Minta Sekolah...

GEORGE TOWN - Pulau Pinang akan meminta sekolah di negeri ini ditutup sekiranya...

Mahkamah: Syed Saddiq Diperintah...

KUALA LUMPUR – Penyandang Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintah...

Perak Cadang MAHB Sedia...

IPOH - Kerajaan negeri Perak mencadangkan supaya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyediakan...

TMJ Beritahu Sidang Dunia FAM Kaut Hak Penyiaran

KUALA LUMPUR – “Hak penyiaran televisyen (perlawanan Liga Malaysia) adalah satu masalah besar di negara saya,” kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat dakwaan itu secara terbuka sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak Dunia Bola Sepak di Madrid, Sepanyol pada 28 Oktober lalu.

Baginda secara terbuka mendakwa sebahagian besar pembiayaan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk kegunaan sendiri.

“Di negara-negara bola sepak yang berjaya di Eropah, pembiayaan penyiaran TV adalah tulang belakang bagi sokongan kewangan untuk sebuah kelab bola sepak sedangkan di Malaysia kami terpaksa bergantung hampir sepenuhnya kepada penajaan.

“Pembiayaan hak penyiaran TV yang kami terima tidak mencukupi kerana persatuan bola sepak kami telah memutuskan untuk mengambil bahagian yang lebih untuk diri mereka sendiri dan bukan menyumbangkannya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dalam negara ini,” dakwa baginda.

Berikut teks ucapan penuh baginda seperti disiarkan di laman Facebook rasmi pasukan JDT hari ini:

TEKS UCAPAN DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR DI MAJLIS PERSIDANGAN WORLD FOOTBALL SUMMIT, MADRID | 28 OKTOBER 2016

1. Selamat petang tuan-tuan dan puan-puan. Ini merupakan satu penghormatan yang besar bagi saya untuk berada di sini untuk bercakap kepada anda semua pada Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (World Football Summit) ini. Saya datang dari sebuah negeri yang sangat kecil di Malaysia dipanggil Johor, dan saya mempunyai sebuah kelab bola sepak kecil yang dikenali sebagai Johor Darul Ta’zim, juga lebih dikenali dengan panggilan JDT. Sebuah kelab kecil dengan impian yang besar.

2. Anda telah melihat rakaman video pencapaian kami di JDT sepanjang tempoh lebih dari tiga tahun setengah. Saya sedar video tersebut agak panjang, saya juga sedar ini adalah hari Jumaat, jadi jangan risau, saya akan memastikan ucapan saya ini pendek dan ringkas.

3. Perjalanan kami bermula dari waktu saya mengambil alih kelab. Kelab pada masa itu mempunyai begitu banyak cabaran dengan gejala rasuah dan mengatur perlawanan menjadi suatu masalah yang cukup besar.

4. Sebelum melakukan sebarang perubahan, kami perlu sedar dan akui kelemahan-kelemahan kami, perlu menerimanya dan bukan cuba menafikannya serta kemudian kami perlu mempunyai keinginan untuk berubah, untuk menjadi lebih profesional, seterusnya mengubah struktur dan mengubah polisi kelab kami.

5. Perkara pertama yang saya lakukan adalah menetapkan polisi, dan polisi ini adalah perkara yang tidak boleh diubah:

(i) Kami menetapkan polisi kami (visi dan falsafah).

(ii) Kami menetapkan struktur yang profesional.

(iii) Kami letakkan orang-orang yang betul di tempatnya.

6. Sepanjang proses ini dan hingga ke hari ini saya sering mengambil tahu setiap perkara kerana saya mahu segala-galanya yang berlaku di dalam kelab di bawah pengetahuan saya. Saya mempunyai banyak penaja yang telah membantu saya sepanjang masa dan saya ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan kesetiaan mereka.

7. Projek ini bukan hanya mengenai bola sepak, ia juga mengenai faktor penyatuan dan yang paling penting bagi negeri saya adalah tanpa mengira kaum atau agama, saya ingin melihat rakyat saya bersatu. Bola sepak memberikan kami semangat jati diri untuk memberitahu dunia dari mana kami datang – iaitu dari negeri Johor.

8. Sebagai sebuah negeri yang sangat kecil di Malaysia, kami cukup kaya dengan sejarah dan kami juga menggunakan bola sepak sebagai kaedah untuk mempromosikan sejarah dan identiti kami.

9. Langkah seterusnya adalah menarik perhatian ramai dengan menandatangani beberapa pemain bertaraf dunia untuk mempromosikan apa yang kami sedang dilakukan dan untuk menunjukkan kepada umum betapa seriusnya kami. Pada masa itu, saya mempunyai pilihan sama ada mahu melabur dalam projek kami untuk pembangunan belia atau melabur untuk pembelian pemain terbaik bagi mencapai kejayaan serta merta. Saya membuat keputusan melabur untuk mencapai kejayaan serta merta supaya dunia memandang kami lebih serius.

10. Selepas kami mencapai kejayaan serta merta, barulah kami mula melabur dan memberi tumpuan penuh kepada projek-projek pembangunan belia. Kami bermula dengan kerjasama bersama Borussia Dortmund dan kami meneruskannya dengan Valencia.

11. Kami mempunyai pelbagai kerjasama yang memberi tumpuan kepada aspek-aspek yang berbeza. Kami dapat merasakan bahawa kami boleh belajar dari kelab lain di Eropah kerana anda semua sudah 100 tahun lebih awal daripada kami dalam arena bola sepak dan di Asia Tenggara, kami masih dianggap masih muda dalam bidang bola sepak.

12. Jadi saya mengambil peluang untuk belajar seberapa banyak yang saya boleh dan hari ini, dengan mempunyai hubungan bersama kelab-kelab seperti Borussia Dortmund dan Valencia, dan saya mempunyai peluang untuk melawat Barcelona dan Real Madrid serta bertemu dengan presiden masing-masing, serta sebuah kelab dari Jepun – Sapporo.


13. Saya percaya bahawa dengan melawat semua kelab terbaik ini, ianya benar-benar banyak membantu saya dan telah mengubah perspektif saya serta boleh digunakan dan dimanfaatkan untuk bola sepak di negara saya.

14. JDT telah berjaya mengubah cara bola sepak di Malaysia. Kami telah bergerak dengan pantas dalam masa yang singkat.

15. Kami telah memenangi tujuh kejuaraan dalam tempoh tiga tahun setengah. Kami mempunyai kemudahan yang terbaik di negara ini malah di Asia Tenggara dan kini kami menumpukan banyak perhatian kepada pembangunan belia.

16. Pendidikan adalah bahagian terbesar dalam kelab bola sepak kami, kami bukan sahaja membentuk hubungan dengan beberapa kelab bola sepak terkemuka di Eropah untuk meningkatkan pembangunan bola sepak kami, tetapi juga untuk memberi tumpuan dalam mendidik belia kami.

17. Kakitangan kami di JDT terdiri dari pelbagai kaum. Jurulatih dan kakitangan teknikal datang dari bahagian-bahagian yang berlainan di dunia – Argentina, Sepanyol, Mexico, Croatia, Jerman dan Australia. Kami percaya ini adalah satu pendekatan yang baik kerana bola sepak sentiasa berkembang dan kita boleh belajar banyak dari apa yang berlaku dari persekitaran bola sepak yang berbeza. Walaupun pada masa ini kami mempunyai barisan kejurulatihan yang terdiri oleh warga asing, semuanya sedang berusaha ke arah meningkatkan kemahiran jurulatih tempatan supaya pada suatu hari nanti kami akan dapat mempunyai jurulatih tempatan di kedudukan utama dalam kelab ini.

18. Kami telah memulakan proses ini dengan jurulatih kami baru-baru ini telah meluangkan masa mengikuti program pendidikan kejurulatihan di Akademi Valencia dan Sapporo.

19. Saya berharap kelab lain di Asia Tenggara juga dapat belajar seberapa banyak yang mereka boleh dari kelab Eropah atau kelab ternama lain di seluruh dunia dari Amerika Selatan dan juga Asia.

20. Saya juga berharap agar kelab di negara saya akan belajar bagaimana untuk menguruskan sumber-sumber kewangan dan tidak terlalu berlebihan dalam berbelanja.

21. Orang-orang di Asia Tenggara perlu sedar betapa pentingnya dan berkuasanya sukan bola sepak. Ia adalah sukan yang paling popular di dunia di mana anda boleh melihat anak-anak muda bermain di jalanan dan mereka-meraka yang suka menonton dan menyokong bola sepak tidak kira kanak-kanak atau orang tua – tanpa mengira bangsa dan agama, itulah kuasa bola sepak. Ia menyatupadukan semua orang, ia adalah satu sukan yang boleh berkomunikasi dalam satu bahasa dan itulah sebabnya saya melibatkan diri saya dalam industri bola sepak ini kerana saya melihatnya sebagai sesuatu yang lebih besar daripada hanya sebuah permainan – ia bukan hanya satu permainan, ia adalah sesuatu yang sangat kuat yang mampu digunakan untuk melaksanakan program pendidikan, mengajar menghormati orang, menghormati budaya lain, menghormati antara satu sama lain dari bahagian lain di dunia.

22. Hak penyiaran televisyen (TV) adalah satu masalah besar di negara saya, di negara-negara bola sepak yang berjaya di Eropah, pembiayaan penyiaran TV adalah tulang belakang bagi sokongan kewangan untuk sebuah kelab bola sepak sedangkan di Malaysia kami terpaksa bergantung hampir sepenuhnya kepada penajaan. Pembiayaan hak penyiaran TV yang kami terima tidak mencukupi kerana persatuan bola sepak kami telah memutuskan untuk mengambil bahagian yang lebih untuk diri mereka sendiri dan bukan menyumbangkannya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dalam negara ini. TV harus memberikan sokongan yang lebih kepada sukan tempatan. Syarikat-syarikat besar perlu berbelanja lebih untuk mempromosikan bola sepak di Malaysia dan Asia Tenggara.

23. Apabila orang bertanya kepada saya tentang visi saya untuk mempertingkatkan bola sepak di negara saya, saya katakan:

(i) Berjuang untuk meningkatkan hak penyiaran TV untuk setiap kelab merupakan satu keutamaan.

(ii) Untuk terlibat dalam liga, setiap pasukan wajib untuk mempunyai projek pembangunan belia.

(iii) Dan pastinya mempertingkatkan lagi fasiliti bola sepak.

Ini adalah tiga perkara utama yang saya sarankan.

24. Kami tidak boleh membiarkan ego kami melangkaui perjalanan kami di Asia Tenggara, kami tidak boleh berfikir bahawa kami arif segala-galanya kerana kita sememangnya tidak cukup arif. Kami tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai bola sepak dan itulah sebabnya mengapa saya berada di sini. Saya tidak keberatan meletakkan diri saya di bawah untuk mempelajari seberapa banyak yang saya dapat dari orang-orang yang berjaya dan mudah-mudahan saya dapat menyumbang pengetahuan ini untuk kelab dan bola sepak saya di Malaysia.

25. Saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, isteri saya dan semua orang dalam pasukan saya yang sentiasa memberi sokongan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak penaja dan penyokong kami.

26. Seseorang yang ingin sekali saya ucapkan terima kasih ialah Encik Peter Lim atas semua nasihat, panduan dan sokongan beliau yang telah diberikan kepada saya selama ini.

27. Akhir sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana memberi saya peluang dan penghormatan untuk berucap di Sidang Kemuncak Dunia Bola Sepak, ia telah menjadi satu peluang dan satu penghormatan besar bagi saya untuk berkongsi seberapa banyak yang saya mampu dalam industri bola sepak kita yang indah ini. – MYNEWSHUB.CC

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori