TANDA tanya sama ada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu semakin kuat berlegar dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tanah air.
Ia ekoran kenyataan terbaru baginda melalui laman Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini memaklumkan baginda sedang berada di Sepanyol bagi mencari jurulatih baharu untuk skuad kebangsaan Harimau Malaysia.
“Saya di sini bukan sahaja datang kerana dijemput untuk memberi ucapan dalam persidangan ‘World Football Summit’, juga bukan sekadar untuk berjumpa dengan rakan-rakan saya di kelab Barcelona, Valencia dan juga di Madrid tetapi untuk mencari jurulatih baharu pasukan kebangsaan dari peringkat belia dan pasukan utama negara.
“Jurulatih baru ini akan terapkan polisi, disiplin dan falsafah buat pasukan kebangsaan,” kata baginda yang juga pemilik pasukan JDT hari ini.
Tunku Ismail berkata, baginda sudah sudah lama ingin membantu skuad kebangsaan tetapi tidak boleh melakukan apa-apa sebelum ini disebabkan oleh kerana pengurusan FAM sedia ada.
Tegas baginda, apabila pengurusan baharu mengambil alih FAM tahun hadapan, tiga objektif utama yang akan dilaksanakan adalah perlantikan jurulatih baharu daripada Sepanyol.
“Keduanya adalah duit hak penyiaran untuk semua pasukan dan yang ketiga memperbaiki Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” kata baginda. – MYNEWSHUB.CC