KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu tonto yang mengakibatkan kematian seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) semalam ditangkap dan dihukum.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, PPIM menggesa Menteri Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan menyeluruh siapa yang melindungi penjenayah-penjenayah itu.
“Semua rakyat Malaysia harus membuka mata dan berfikir bagaimana sindiket ‘sial’ boleh bermaharajalela dan menakutkan penguatkuasa kerajaan.
“Mereka seolah-olah paling berkuasa di Malaysia bebas berbuat apa saja dengan mengatasi segala undang-undang. Sampai bila lagi kita harus membiarkan kedaulatan negara dicemar dan dihina,†tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nadzim mempersoalkan jika ada pihak yang melindungi kumpulan tonto dengan menyampaikan berita kepada mereka supaya menutup perniaga atau beredar sebelum diserbu.
Katanya, sindiket berkenaan memantau pihak berkuasa tempatan, kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“Premis judi, maksiat, pengedar barangan haram, barangan seludup, barangan tiruan dan lain-lain pelaku kesalahan mendapat amaran untuk lari atau menutup premis mereka.
“Pihak penguatkuasa menjadi takut kerana diancam dan diikut ke rumah. Adakala nyawa mereka juga sentiasa merasa diancam sebagaimana terjadi kepada rakan-rakan mereka yang telah dicedera atau menerima ajal,” katanya. – MYNEWSHUB.CC