KANGAR – Pendidikan seni yang diajar di sekolah mampu mencipta daya kreativiti pelajar dan menyuntik elemen kemahiran inovatif dalam usaha melahirkan individu berkemahiran yang mempunyai masa depan luas.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah persepsi subjek Pendidikan Seni tidak penting sehingga dilihat tiada masa depan, perlu diubah kerana bidang itu ternyata memerlukan daya pemikiran yang kritis dan imaginasi hebat.
“Walaupun ia bukan dalam kategori bidang profesional lain tetapi bagi jangka masa panjang, pendidikan seni mampu melahirkan belia yang boleh meningkatkan ekonomi negara melalui industri kemahiran kreatif,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Majlis Gala Festival Kesenian Peringkat Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2016 di Dewan 2020 di sini malam tadi.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM Rozainum Ahmad dan Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis Izmi Ismail.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah seni merupakan satu entiti yang saling berkait rapat melalui aktiviti-aktiviti kesenian dan kebudayaan, integrasi sosial dalam masyarakat serta melahirkan generasi yang mensyukuri nikmat Tuhan dengan menghargai alam sekitar, keindahan seni budaya dan warisan.
Pada majlis itu, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan mengurniakan hadiah-hadiah berupa trofi dan sijil kepada semua 10 kategori anugerah yang dipertandingkan antaranya Anugerah Citra Budaya (Pulau Pinang, Putrajaya dan Negeri Sembilan).
Perlis, Terengganu dan Kelantan pula memenangi kategori Anugerah Warisan Budaya‎ sementara pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Kuala Penyu, Kota Kinabalu, Sabah, Akhma Gais, 18, mengungguli kategori Anugerah Ekspresi Warna.
Terdahulu, baginda berdua berkenan berangkat merasmikan majlis penutupan ‘Hari Kesenian Islam 2016 Peringkat Negeri ‎Perlis’ dianjurkan buat julung kalinya oleh Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) di Dewan Warisan di sini.
Para hadirin dipersembahkan dengan deklamasi sajak khas bertajuk ‘Raja Muda Pencinta Ilmu’ yang disampaikan tokoh sasterawan, penulis bebas dan ahli akademik terkenal anak jati Kampung Oran, Perlis iaitu‎ Prof Datuk Abdul Rahman Shaari. – BERNAMA