KUALA LUMPUR – Hasrat kerajaan untuk memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan mengubah suai beberapa Institut Pendidikan Perguruan (IPG) perlu diperhalusi terutama bagi mengelak limpahan tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal, kata ahli akademik.
Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Prof Madya Dr Junaidi Abu Bakar berkata meskipun langkah itu boleh membantu meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir khususnya di kalangan bumiputera namun jumlah politeknik, vokasional serta kolej komuniti yang ada pada hari ini memadai untuk menampung keperluan bidang pendidikan berkenaan.
“Kekalkan IPG yang kita ada dan sebaik-baiknya tingkatkan kekurangan yang terdapat pada kolej komuniti dan vokasional. Malah hari ini, kita lihat banyak juga sekolah teknik yang sudah dinaik taraf kepada kolej vokasional.
“Kita bimbang sekiranya terlalu banyak politeknik dan vokasional yang dibuka, akan berlaku limpahan tenaga kerja (dalam bidang teknikal dan kemahiran). Ia juga mungkin menyukarkan pelajar (terutama yang memiliki Diploma kemahiran) untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah kerana tidak banyak universiti di negara ini yang menawarkan jurusan teknikal,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat semalam berkata, bagi menghasilkan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan industri, kerajaan akan memperkasakan kapasiti pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion kepada institusi-institusi TVET.
Untuk tujuan itu Najib berkata, sembilan buah kampus IPG akan diubah suai untuk menjadi politeknik dan kolej vokasional dengan empat buah kampus akan menjadi politeknik, empat sebagai kolej vokasional dan sebuah lagi sebagai Pusat Latihan Jurulatih TVET.
Mengulas lanjut, Junaidi berkata kerajaan juga pada masa sama perlu memikirkan tentang hala tuju dan kebajikan guru-guru yang dilatih di IPG sekiranya ia diubah suai kepada politeknik dan vokasional selain faktor kos yang perlu ditampung bagi melatih tenaga kerja serta penyediaan peralatan tertentu untuk bidang berkenaan.
Mengulas pemberian biasiswa dengan peruntukan RM4.3 bilion kepada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan pendidikan tinggi pula, Junaidi berkata ia mampu menyumbang dalam melahirkan modal insan cemerlang sekali gus menjadi aset kepada negara.
“Cuma, saya berpendapat berbanding menghantar keluar graduan kita (biasiswa luar negara), adalah lebih baik sekiranya kerajaan membangunkan fakulti yang tidak ada tetapi berkeperluan penting di negara ini. Tidak dinafikan ia menelan kos sementara yang tinggi namun untuk jangka masa panjang, hasilnya akan memberi manfaat serta keuntungan kepada negara,” jelas beliau.
Sementara itu, seorang guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (Felda) Bandar Baru Serting di Jempol, Negeri Sembilan, Nurhayati Zainudin berkata peruntukan untuk murid berkeperluan khas dalam Bajet 2017 yang antara lain menyebut tentang penggantian bas bagi 21 sekolah berpendidikan khas, pastinya sesuatu yang menggembirakan terutama kepada golongan itu.
“Sekolah banyak membuat aktiviti lawatan luar untuk para pelajar bagi tujuan pembelajaran mereka. Jadi dengan adanya inisiatif untuk menggantikan bas ini ia secara tidak langsung akan memudahkan aktiviti yang dirancang untuk mereka,” katanya. – BERNAMA