KEADAAN di sebuah cawangan Burger King di Incheon, Korea Selatan baru-baru ini menjadi huru-hara apabila sebuah telefon pintar Samsung Galaxy Note 7 terbakar di dalam restoran berkenaan.
Insiden itu turut dirakam seorang pelanggan yang kemudian memuat naik video itu di laman YouTube, pada Sabtu lalu.
Menerusi video itu, seorang kakitangan Burger King dilihat terkial-kial cuba memadamkan telefon yang terbakar menggunakan sarung tangan hingga menyebabkan telefon itu terjatuh dari meja sebelum membawanya pergi dari pandangan pelanggan.
Sementara itu, ramai pelanggan yang menyaksikan insiden itu turut kelihatan cemas.
Seorang jurucakap Samsung pula mengesahkan bahawa alat dalam video itu adalah Note 7 namun enggan mengulas lanjut.
Menurut laman berita online Wikitree, cawangan Burger King telah menghubungi pihak Samsung untuk meminta ganti rugi atas kerosakan meja di cawangan tersebut.
Dua hari selepas kejadian itu Samsung mengumumkan penggantungan pada penjualan dan penukaran Note 7 di seluruh dunia berikutan aduan pengguna bahawa bateri telefon itu meletup apabila dicas. – MYNEWSHUB.CC