MEMBELI kediaman sendiri memerlukan masa untuk mengumpul wang tetapi berbeza dengan wanita dari Shenzhen, China ini apabila berjaya memiliki sebuah rumah idaman dengan meminta 20 teman lelakinya menghadiahkan telefon bimbit jenis iPhone 7.
Metro.Co melaporkan, wanita yang dikenali sebagai Xiaoli ini berjaya mengumpul 115,010 yuan (RM71,000) selepas menjual 20 telefon bimbit itu di laman web Hui Shou Nao dan wang tersebut digunakan untuk membeli sebuah rumah di kawasan luar bandar.
Kisah ini dikongsikan dalam forum blogging oleh pengguna bernama Proud Qiaoba yang juga rakan sepejabat Xiaoli.
Menurut Proud Qiaoba, hal tersebut turut menjadi buah mulut di kalangan rakan sepejabat mereka.
“Siapa tahu apa yang akan difikirkan kesemua teman lelakinya apabila cerita ini diketahui umum,” katanya.
Proud Qiaoba berkata, rakannya itu adalah anak sulung dan bukanlah dari keluarga yang kaya dan ibunya seorang suri rumah manakala bapanya adalah pekerja asing.
“Ibu bapanya semakin tua dan mungkin tekanan untuk membeli rumah diletakkan terhadapnya tetapi kami tidak percaya dia menggunakan cara ini,” katanya.
Kisah mengenai Xiaoli ini tersebar luar melalui rangkaian sosial Weibo dan ada netizen yang mengkritik tindakannya namun ada juga yang memuji ‘kebijaksanaannya’ untuk mendapatkan wang dengan cara yang cukup mudah dan licik. – MYNEWSHUB.CC