SEORANG isteri tidak pernah berputus asa untuk mencari pembunuh suaminya dan hanya selepas 17 tahun, barulah dia berjaya mengesan mereka.
Li Guiying, tidak berputus asa untuk memburu lima lelaki yang membunuh suaminya, Qi Yuande pada bulan Januari 1998 dan sanggup mengembara ke seluruh China semata-mata mahu memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan.
Suaminya dibunuh oleh penduduk di kampung mereka selepas pembunuh berkenaan mengesyaki Li melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa mereka telah melanggar polisi satu anak yang dilaksanakan di negara berkenaan.
Salah seorang daripada pembunuh itu adalah Qi Xueshan. Dalam kejadian itu, Qi Xueshan telah memukul Li dengan bata dan cuba menyerangnya dengan pisau pemotong daging.
Qi Yuande kemudiannya cuba membantu isterinya namun dia telah ditikam hingga mati oleh Qi Xueshan dan empat adik beradiknya yang lain. Serangan itu juga mengakibatkan Li mengalami kecederaan parah dan terpaksa dirawat di hospital.
Selepas keluar hospital, Li nekad memburu pembunuh tersebut yang telah melarikan diri. Dia membawa gambar mereka ke seluruh China dan akhirnya dua suspek ditangkap di Beijing. Mereka dipenjara selama 15 tahun.
Suspek ketiga ditangkap di Xinjiang dan dihukum mati manakala baki dua lagi suspek ditangkap Jun lalu dan kini mereka sedang menjalani perbicaraan.
Susulan ketabahan Li itu, ramai yang mengaguminya dan mencadangkan supaya pengalaman hidupnya itu difilemkan.