RAKAMAN video yang dimuat naik menerusi sebuah laman Facebook memaparkan kejadian mengejutkan apabila seorang anggota polis Pakistan menampar seorang wartawan wanita.
Saima Kanwal, wartawan saluran berita K21, membuat liputan secara langsung mengenai masalah yang dihadapi orang ramai ketika berurusan di pusat pendaftaran Nadra di Karachi.
Video insiden itu yang berdurasi satu minit lebih kemudian menjadi viral setelah dimuat naik melalui laman media sosial.
Menerusi video yang tersebar, Kanwal dan jurukameranya dihalang oleh anggota polis berkenaan daripada memasuki dan merakam kejadian yang berlaku di premis berkenaan.
Malah Kanwal juga dilihat cuba mengajukan beberapa soalan kepada anggota polis berkenaan namun tidak diendahnya dan tiba-tiba bertindak menamparnya hingga tersungkur.
Tidak dapat dipastikan apakah soalan yang diajukan oleh Kanwal sehinggakan anggota polis berkenaan berang dan bertindak menamparnya.
Kes tersebut sudah dilaporkan kepada polis manakala pejabat pendaftaran Nadra juga membuat laporan terhadap saluran berita itu kerana mencetuskan halangan terhadap kerja rasmi mereka. – MYNEWSHUB.CC