SEREMBAN – Sebanyak 12 buah rumah di Taman Negeri Baru, Port Dickson dinaiki air sedalam 0.17 meter akibat banjir kilat yang berlaku di kawasan itu awal pagi tadi.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson berkata banjir kilat itu berlaku akibat daripada hujan lebat malam tadi menyebabkan air dari saluran perparitan melimpah keluar.
“Kawasan itu setakat ini tiada apa yang membimbangkan dan pihak kami akan terus memantau…penduduk di kawasan itu dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan perparitan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sebanyak 12 buah keluarga terjejas dan setakat ini tiada pemindahan dibuat dan keadaan masih terkawal, katanya. – BERNAMA