SEBANYAK 191 kasut terdampar di Pantai Bondi, Sydney, Australia baru-baru ini sebagai simbolik kesedaran jumlah mangsa yang telah meninggal dunia dengan membunuh diri di lokasi tumpuan pelancong itu sepanjang beberapa bulan lalu.
Menurut Adam Garone, pengasas Pergerakan Movember, gimik yang dilakukan itu bagi menimbulkan kesedaran dan ilmu pengetahuan mengenai peningkatan masalah mental di kalangan penduduk negara itu.
“Pergerakan Movember yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat sejagat yang ditubuhkan sejak 2003, dan banyak lagi kerja yang perlu dibuat.
“Kami tidak akan berhenti untuk memberikan erti kehidupan sihat, gembira dan tenang buat semua di luar sana,” katanya dipetik Daily Telegraph AU.
Pergerakan Movember juga menggalakkan kaum lelaki agar tidak mencukur misai dan jambang bagi menyokong agenda mereka.
Mereka digalakkan untuk menderma wang yang tidak dibelanjakan untuk membeli pisau cukur kepada persatuan tersebut bagi tujuan kebajikan.
Sejak tiga tahun ditubuhkan, pergerakan itu telah melakukan pelbagai aktiviti kesedaran mengenai masalah mental dan penyakit kanser prostat yang kini sudah mencecah angka yang agak membimbangkan di kalangan kaum Adam.
Berdasarkan statistik, mangsa bunuh diri di kalangan lelaki Australia adalah berusia di antara 15 hingga 44 tahun, di mana purata enam lelaki setiap hari akan mengambil keputusan untuk mengambil nyawa sendiri.
Sementara itu, tahun ini sahaja seramai 3,300 lelaki dari negara Kangaru itu dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit kanser prostat yang puratanya menyerang individu berusia 36 tahun ke atas. – Ă‚Â MYNEWSHUB.CC