BANDUNG – Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu mengesahkan aset pertahanan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bakal diperkuatkan oleh dua buah kapal selam buatan tempatan.
Berita gembira tersebut dinyatakan beliau selepas menyaksikan acara perlepasan sebuah pesawat pengangkut CN235-220M buatan firma PT Dirgantara Indonesia yang dibeli pasukan Polis Diraja Thailand di sini hari ini.
“Kami mempromosikan kepada dunia, ini yang kita mampu buat, ternyata ada yang beli, Thailand dan Filipina. Kemudian kita bakal buat kapal selam buatan sendiri di Surabaya,” ujar Ryamizard kepada media tempatan.
Mengulas dengan lebih lanjut, beliau menjelaskan, dua unit kapal selam buatan dalam negeri itu akan beroperasi sepenuhnya mulai tahun depan untuk memperkukuhkan lagi aset kegunaan armada TNI Angkatan Laut (AL).
“Dua sudah selesai. Tahun depan dijangka sudah siap,” jelas Ryamizard. Pasukan laut itu ketika ini hanya memiliki dua buah kapal selam iaitu KRI Cakra dan KRI Nanggala buatan Jerman yang dihasilkan pada dekad 1980-an.
Baca: Malaysia Beli Uniform Tentera Kalis Nuklear Buatan Indonesia
Selain itu, TNI AL yang ditubuhkan sejak 1947 dengan kekuatan 74,000 anggota buat masa ini meliputi aset berjumlah 130 buah kapal pelbagai jenis selain 82 unit pesawat udara dan 437 buah kenderaan tempur darat.
Pihak TNI juga akan menambah sejumlah kapal selam tempur dari luar negeri dan menurut Ryamizard, teknologi import tersebut akan dipelajari kembali agar dapat dihasilkan semula oleh industri pertahanan domestik.
“Kapal selam kita akan beli dari Rusia,” ungkapnya. Menerusi pemindahan teknologi, Ryamizard optimis pihak pemerintah Indonesia dapat berdikari dan memenuhi keperluan aset ketenteraan untuk 10 tahun akan datang.
“Kita jangka 10 tahun ke depan, Indonesia mampu menghasilkan pesawat tempur sendiri. Kekuatan kita menjadi kekuatan mandiri dan mampu memenuhi keperluan dengan cepat kerana kita yang buat sendiri,” tuturnya.
Pada masa ini, sebuah lagi kapal selam iaitu KRI Nagabanda buatan bersama Korea Selatan dan Indonesia masih lagi dalam proses pembuatan serta bakal beroperasi menjelang 2018 kelak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA