Malang menimpa tiga beradik apabila mereka diserang dan dipenggal kepala, dipercayai untuk digunakan dalam pemujaan ilmu hitam, dalam kes yang menggemparkan penduduk di Nigeria.
Tiga beradik itu yang dikenali sebagai Terdors, yang berusia 10 tahun, Terna (lapan tahun) dan Sulumshima (enam tahun) dalam perjalanan ke rumah selepas berenang bersama rakan-rakan yang lain.
Ibu mereka, Cecilia Emberga Agammbuee berkata, selepas berenang, anak-anaknya memutuskan untuk mengangkut air dengan menggunakan baldi untuk digunakan di rumah.
“Ketika dalam perjalanan pulang, dua lelaki yang secara tiba-tiba muncul dari ladang, telah memegang leher salah seorang anak saya.
“Ketika kanak-kanak lain melarikan diri, dua lagi anak saya memutuskan untuk menyelamatkan adik mereka,’’ katanya yang dimaklumkan mengenai perkara berkenaan oleh kanak-kanak yang berjaya melepaskan diri itu.
Menurut Cecilia, suaminya bersama dengan penduduk kampung kemudiannya berkejar ke tempat kejadian namun mereka hanya menemui mayat ketiga-tiga anaknya tanpa kepala, terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
“Apabila melihat mayat mereka, saya sangka saya akan mati,’’ kata Cecilia.
Turut ditemui di tempat kejadian ialah topi dan dadah, dipercayai milik pembunuh terbabit.
“Saya ada empat orang anak namun tiga daripadanya telah dibunuh dengan kejam. Saya hanya ditinggalkan dengan seorang anak sahaja. Ia menunjukkan betapa bahayanya kawasan ini,’’ katanya. – mynewshub.cc