SANDAKAN – Tiga orang rentung selepas sebuah rumah di Kampung Baru, Batu 18 dekat sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Menurut kenyataan dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, identiti, jantina dan umur ketiga-tiga mangsa belum dapat dikenal pasti.
Kenyataan itu menambah mayat ketiga-tiga mangsa yang rentung ditemui oleh anggota bomba dalam rumah tersebut.
Menurut kenyataan itu, bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.30 malam dan anggota-anggota bomba bersama jentera tiba di tempat kejadian pada 10.11 malam.
Operasi memadamkan kebakaran dijalankan oleh 10 anggota bomba menggunakan dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti. – BERNAMA