JOHOR BAHRU – Umat Islam di Malaysia boleh dianggap sebagai amat pemurah mewakafkan tanah mereka namun bukan kesemuanya itu boleh dimanfaatkan semula untuk kegunaan masyarakat.
Perkara yang cukup memeranjatkan itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), Prof. Datuk Dr. Sudin Haron pada Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 di Pusat Konvensyen Persada di sini.
“Bayangkanlah dianggarkan di seluruh negara terdapat lebih 30,000 hektar tanah telah diwakafkan kepada pihak berkuasa agama tetapi hanya 22 hektar boleh dikomersialkan untuk manfaat umat Islam semula,” jelas beliau.
Mengulas lebih lanjut, Sudin menerangkan, hampir kesemua tanah wakaf terbabit telah diwakafkan oleh pemilik asalnya itu cuma untuk tujuan begitu terhad iaitu pembinaan masjid, surau, madrasah atau kubur semata-mata.
Keadaan itu nyata amat merugikan umat Islam setempat kerana tanah berkenaan sepatutnya boleh dipelbagaikan fungsi seperti dijadikan pusat komersial disewakan kepada usahawan Islam untuk perniagaan atau perindustrian.
Sudin memberi contoh usaha YWM dengan pihak majlis agama Islam setiap negeri memajukan 350 unit bazar wakaf di masjid bagi mengembangkan aktiviti ekonomi dan kutipan sewa premis dijadikan sumber pendapatan.
Baca: Johor Contoh Peneraju Wakaf Jihad Ekonomi – Jamil Khir
Juga: Sultan Johor Lancar Tabung Wakaf, Dana Awal RM12 Juta
“Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan wakaf korporat pada 2015, YWM diberi amanah oleh majlis agama di negeri-negeri membangunkan tanah wakaf dengan pelbagai kegiatan nilai tambah,” katanya.
Ini termasuk pembinaan bangunan komersial termasuk ruang niaga, industri, hospitaliti dan perladangan serta sejajar dengan matlamat penubuhan YWM menumpukan usaha dalam bidang kesihatan, pendidikan dan ekonomi.
Sudin turut meluahkan perasaan kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatakan dengan memperdayakan masyarakat konon mereka melakukan kutipan derma untuk projek wakaf tanah tertentu.
“Justeru, kita kena tahu ada orang kutip derma atas nama wakaf secara haram iaitu dia tidak dapat kebenaran pihak majlis agama Islam negeri dan tanah itu pun masih atas nama pemilik, bukan pihak berkuasa agama,” jelas beliau.
Bagi menggalakkan lebih ramai individu melakukan wakaf, YWM ujar Sudin bakal melancarkan sijil wakaf secara rasmi termasuk memperkenalkan kaedah potongan gaji sebagaimana dilakukan pihak agensi kutipan zakat.
Setakat ini kata Sudin, hampir 10,000 orang, dengan wanita kira-kira lebih 6,000 orang; memotong gaji bulanan mereka untuk wakaf manakala hanya enam syarikat melakukan pemotongan gaji pekerja bagi tujuan sama. – Mynewshub.cc/HAA