SHAH ALAM – Empat peniaga di tiga negeri akan didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 minggu ini, atas kesalahan menyorok dan menyimpan minyak masak bersubsidi berlebihan di premis masing-masing.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Jamil Salleh berkata seorang peniaga dihadapkan di Mahkamah Sepang hari ini manakala tiga lagi, masing-masing satu kes di Kota Bharu dan Pasir Mas, Kelantan akan didakwa esok, diikuti di Samarahan, Sarawak pada Rabu.
“Sebelum ini, lapan kes dibawa ke mahkamah atas pelbagai kesalahan seperti menyimpan serta menyorok minyak masak dan buku rekod tidak diselenggara.
“Masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur dan Melaka serta tiga kes di Selangor,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran portal dalam talian, MYDATA SSM, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.
Jamil berkata sehingga kini, 44 kes siasatan berhubung kesalahan berkaitan minyak masak sejak operasi Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (Ops COSS) dilancarkan pada 21 Okt lepas.
Mengenai bekalan minyak masak bersubsidi, beliau berkata bekalan di pasaran akan kembali stabil sepenuhnya dalam minggu ini.
“Pembelian secara pukal oleh sesetengah pihak menyebabkan bekalan minyak masak di pasar raya dan kedai-kedai runcit cepat habis walaupun pihak pembekal sudah menghantar bekalan itu.
“Bagaimanapun masalah itu akan selesai dalam minggu ini, begitu juga dengan jumlah aduan yang diterima sekarang pun telah berkurangan,” katanya.
Mengulas mengenai portal dalam talian MYDATA SSM, Jamil berkata portal itu akan memudahkan pelabur untuk mencari maklumat data perniagaan sesebuah syarikat dari segi profil syarikat, pemegang saham dan kewangan perniagaan yang terkini.
“Dengan adanya penyedia perkhidmatan tambahan ini akan mempercepat dan memudahkan lagi proses mendapatkan maklumat data perniagaan,” katanya.
MYDATA SSM menyediakan maklumat data perniagaan sebanyak 1.2 juta syarikat sdn bhd dan 6.2 juta perniagaan milik tunggal atau perkongsian. – BERNAMA