KUALA LUMPUR – Seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam ‘Op Nyah 2’ di beberapa lokasi di ibu kota di sini, dari semalam hingga awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata operasi selama 10 jam bermula pukul 9 malam itu menyasarkan lokasi yang menjadi penempatan serta tempat bekerja PATI tersebut.
“Kawasan yang terlibat adalah di Medan Selera Taman Taynton, Cheras dan Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar serta sekitar Bandar Manjalara, Kepong.
“Daripada 181 yang diperiksa, 45 PATI ditahan, kesemuanya lelaki terdiri daripada warga Nepal iaitu seramai 21 orang, diikuti Myanmar (lapan), India (lima), Pakistan (lima), Bangladesh (empat), dan masing-masing satu Indonesia dan China,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Amar Singh berkata kesemua PATI yang ditahan dihantar ke Lokap Berpusat Jinjang dan mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Passport 1966.
Beliau berkata ketika serbuan di Medan Selera Taman Taynton, seorang lelaki berusia 37 tahun warga tempatan turut ditahan kerana memiliki cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak.
“Lelaki yang berasal dari Tawau, Sabah itu memiliki 468 VCD dan DVD cetak rompak dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penerbitan dan Penapisan Filem 2002,” katanya.
Menurutnya, Polis Kuala Lumpur akan meneruskan operasi seumpama itu bagi memastikan ibu kota sentiasa berada dalam keadaan aman dan tenteram. – BERNAMA