SEORANG anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Abu Zarin Hussin terkejut apabila ada media asing menulis berita konon dia berkahwin dengan ular yang dipeliharanya.
Kisah mengenai dirinya itu, telah dipaparkan pada minggu lepas dalam portal di seluruh dunia termasuk dalam akhbar tabloid British terkenal, The Daily Mirror selepas disiarkan akhbar kompak popular The Daily Mail.
Media luar tersilap apabila mengenal pasti dirinya sebagai seorang lelaki Thailand yang berkahwin dengan ular peliharaannya kerana percaya reptilia tersebut adalah jelmaan teman wanitanya yang sudah mati sebelum itu.
Malangnya, gambar yang digunakan media terbabit sebenarnya adalah gambar Abu Zarin bersama-sama ular peliharaannya, dan dia menegaskan bahawa sama sekali tidak pernah pun berkahwin dengan haiwan tersebut.
Sebaliknya, dia memelihara ular sebagai sebahagian daripada peranannya dalam JBPM malah menjalankan latihan untuk anggota bomba yang sering dipanggil orang ramai untuk menangkap haiwan berbisa itu di tempat awam.
“Gambar itu memang adalah saya. Mereka menggunakan gambar itu dan membuat cerita kononsaya telah kahwin dengan ular. Saya hanya ingin menyatakan kekecewaan terhadap sikap segelintir wartawan asing terlibat.
“Tindakan mereka jelas melanggar etika kewartawanan dalam menyiarkan berita, terutamanya kerana gambar-gambar itu jelas diambil daripada akaun Facebook saya sendiri,” katanya yang dipetik The Star Online, semalam.
Abu Zarin menjelaskan bahawa dia memelihara ular untuk lebih memahami sifat tabii haiwan itu apabila dapat memerhatikan sendiri tingkah laku mereka. Menangkap ular malah adalah sebahagian daripada tugas ahli bomba.
“Saya sering melatih ramai anggota lain bagaimana cara betul untuk mengendalikan dan menguruskan seekor ular supaya selepas ditangkap, kita dapat melepaskannya kembali kepada habitat semula jadi,” jelasnya lagi.
Katanya, matlamat utama kursus latihan adalah bagi membolehkan anggota bomba dapat membiasakan diri dengan spesies ular, terutama gigitan dan bisanya, serta bagaimana untuk melakukan tangkapan tanpa perlu bunuh.
Abu Zarin bahkan berkata dia tidak menyimpan ular yang sama sepanjang masa. Apabila terdapat ular baharu, ular sebelumnya akan dilepaskan ke dalam hutan hatta dia juga tidak pernah menyimpan ular selama lebih satu tahun.
“Saya kini mempunyai empat ekor ular di bawah jagaan. Saya mula berlatih dengan ular pada tahun 2007. Minat saya datang daripada bapa saya sendiri, yang secara kebetulan merupakan seorang penjinak ular di Kelantan.
“Tetapi bakat saya hanya muncul apabila saya menyertai JBPM. Ular sebenarnya tidak sukar untuk dikendalikan. Terdapat banyak dakwaan palsu di luar sana tentang ular, kononnya haiwan ini ganas atau menyerang manusia.
“Sebelum saya menyertai JBPM, saya juga takut ular. Namun saya dapat rasakan mewarisi bakat bapa dan kini saya masih berlatih dengannya,” kata Abu Zarin yang tidak pernah diserang reptilia itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA