SEBUT sahaja kumpulan Destiny’s Child, mesti ramai yang terbayang band yang dianggotai tiga wanita iaitu Kelly Rowland, Michelle Williams dan Beyonce Knowles.
Meskipun kumpulan trio ini telah berpecah untuk memilih meneruskan karier mereka secara solo pada tahun 2005, namun kelibat Knowles masih popular sehingga kini.
Terbaharu, kumpulan yang popular menerusi single Say My Name ini telah melancarkan akaun Instagram rasmi mereka baru-baru ini.
Kemunculan akaun Instagram band wanita ini menggembirakan peminatnya disamping mencetuskan khabar angin bahawa kumpulan ini bakal bersatu kembali setelah 10 tahun berpecah.
Apatah lagi, kemunculan akaun berkenaan bertepatan dengan ulang tahun ke-20 penubuhan Destiny’s Child yang bakal dirai tahun hadapan sejak ia ditubuhkan pada tahun 1997.
Tahun lalu trio wanita ini pernah muncul bersama dalam sebuah anugerah, Stellar Gospel Awards di Las Vegas yang turut mencetuskan teka-teki mengatakan mereka akan bersatu kembali.
Menurut sumber sebuah laman antarabangsa, akaun Instagram rasmi mereka diselia oleh Sony Music Entertainment dan mempunyai 40,000 pengikut sejak dilancarkan minggu lepas.
Namun gosip yang mengatakan trio ini bakal bersatu disangkal oleh salah seorang anggotanya iaitu Kelly Rowland.
Kata Rowland, tiada perbincangan dibuat sesama mereka berkaitan khabar angin itu namun tidak menafikan mereka selesa menyokong perjalanan seni antara satu sama lain. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: mStar Online