PUTRAJAYA – Penganjur perhimpunan Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah diminta akur dengan arahan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka, Sabtu ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kedua-dua pihak perlu mengambil kira kepentingan rakyat terbanyak dan mengelak negara daripada dilihat sebagai kucar-kacir jika berlaku ‘pertembungan’ semasa perhimpunan itu.
“Dalam keadaan emosi yang tidak menentu jika terjadi pertembungan, saya bimbang perkara tidak diingini boleh terjadi dan lebih menakutkan seandainya ia tidak terhenti setakat di situ.
“Dalam hal ini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri dan (Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid Abu Bakar juga telah menyatakan larangan berhimpun… dan saya harap semua pihak akur dengan arahan itu,” katanya mengulas mengenai kedegilan kedua-dua pihak untuk tetap mengadakan perhimpunan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kepada 220 pelatih Pemaju Masyarakat Tabika dan Taska Permata Kemas, di sini hari ini.
Malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pemilik Dataran Merdeka juga bertegas tidak akan memberi kebenaran lokasi ikonik itu digunakan sebagai tempat perhimpunan Bersih 5.0 Sabtu ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata dakwaan kedua-dua kumpulan bahawa pergerakan mereka mewakili rakyat keseluruhan adalah tidak betul kerana mereka hanya tidak lebih dari sekadar kumpulan kecil yang cuba ‘memisahkan’ majoriti rakyat.
“Katakan mereka berjaya mengumpul seramai 10,000 orang, dan bandingkan dengan rakyat Malaysia yang berjumlah lebih 30 juta, malah Kuala Lumpur sendiri dihuni kira-kira dua juta orang… jadi, bagaimana boleh kata mereka mewakili majoriti rakyat, katanya.
Beliau juga memberi amaran tindakan keras akan dikenakan ke atas pegawai atau kakitangan kementerian, jabatan, dan agensi serta pelajar di bawah tajaan MARA jika terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 6,023 atau lebih 65 peratus daripada 11,084 Pemaju Masyarakat Kemas kini memiliki diploma manakala 672 lagi Pemaju Masyarakat sedang mengikuti pengajian peringkat diploma, sekali gus menjadi tanda aras terbaik ke arah menjadikan Tabika Kemas sebagai pilihan utama ibu bapa.
“Dengan kompetensi yang ada, kita harap persepsi ibu bapa bahawa pendidikan Kemas rendah dari segi standard berbanding tadika swasta akan berubah, malah saya yakin dengan transformasi yang dibuat, Kemas kini sebaris dengan institusi pendidikan awal kanak-kanak yang dikendalikan swasta,” katanya. – BERNAMA