SEBUAH pasar raya di Sabah yang didakwa menjual alas kaki berwarna hijau seakan-akan mirip bendera Parti Islam Semalaysia (Pas) telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan ahlinya di laman sosial.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bakhri Mamat menerusi perkongsian gambar di laman Facebook menyatakan pasar raya itu seakan sengaja membuat provokasi kepada ahli dan penyokong parti itu di seluruh negara.
Beliau turut meminta pihak pasar raya tersebut untuk tampil memberi penjelasan sebelum tindakan undang-undang dikenakan.
“Saya mengharapkan Pasar raya Giant Tawau memberi penjelasan sebelum orang ramai merasa keluh kesah dengannya alas kaki berkenaan,” katanya.
Menerusi gambar, alas kaki berwarna hijau dengan bulatan berwarna putih itu dipegang salah seorang lelaki yang memakai baju-T ARC (Alternative Riding Club), sebuah kelab motorsikal yang ditubuhkan oleh Sayap Pemuda PAS.
Pasar raya seperti Giant seharusnya lebih sensitif dan peka sewaktu menyemak stok jualan.  Logo atau lambang persatuan ‘masak-memasak’ sekalipun sebenarnya tidak boleh dijadikan alas kaki, apatah lagi lambang parti politik.
Apabila lambang parti dihina sebegini, penyokong parti mana pun akan marah kerana ia dianggap seperti tidak menghormati sekali gus membuatkan mereka rasa terhina dengan perkara itu. -Â MYNEWSHUB.CC