SEORANG anak derhaka yang tikam ibunya dan memotong mayatnya dengan gergaji sebelum berselfie dengan kepala ibunya, telah didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan bunuh.
Hukuman ke atas Bahsid McLean, 26, dari New York itu akan ditetapkan pada 5 Disember ini dan dia berdepan dengan hukuman penjara 25 tahun.
Kejadian ngeri itu berlaku pada 26 Februari 2013 di apartment ibunya, Tanya Byrd, 52.
Bahsid menikam ibunya selepas wanita itu menggelar sebagai teruk. Selepas membunuh ibunya, dia telah melaporkan kepada polis bahawa wanita terbabit telah hilang.
“Jika anda boleh membunuh seseorang, anda sepatutnya boleh memotong mereka. Jika anda tidak boleh melakukannya maka anda adalah pengecut,’’ katanya kepada pihak berkuasa, menerusi satu video yang disiarkan di mahkamah.
Sementara peguam bela Bahsid menggunakan alasan anak guam mereka itu mempunyai masalah mental dan sering mendengar suara dalam kepalanya sejak kecil lagi.
“Adakah ia menunjukkan seseorang itu tahu apa yang dilakukannya itu salah,’’ soal peguamnya sambil menunjukkan gambar Bahsid bersama kepala ibunya di mahkamah.
Selepas membunuh dan memotong mayat ibunya, dia memasukkan mayat berkenaan dalam plastik sampah dan membuangnya di empat lokasi di kawasan perumahan yang didudukinya.
Sementara itu, ibu saudaranya, Cassandra McLean berkata, anak saudaranya itu perlu dipenjarakan kerana dia membahayakan masyarakat.
“Jika dia boleh melakukan perbuatan berkenaan kepada ibunya sendiri, bayangkan dia juga boleh lakukan kepada orang lain. Saya tidak bencikan dia tetapi simpati kepadanya,” katanya. – MYNEWSHUB.CC