MELAKA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) disifatkan sebagai parti ‘orang gila talak’ kerana anggotanya terlalu rakus untuk menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Haron berkata, mereka berbuat demikian walaupun parti berkenaan tidak diterima banyak pihak termasuk beberapa badan bukan kerajaan.
Beliau berkata pemimpin parti itu bersifat hipokrit dan tidak mencerminkan apa yang pernah dijanjikan sebelum penubuhannya.
“Nampaknya parti baharu ini lebih tertumpu untuk menjadi calon pada PRU14 dan lupa bahawa banyak lagi parti pembangkang yang telah bertapak lebih lama dari mereka seperti PAS, PKR, DAP dan sebagainya,” katanya.
Ketua Menteri Melaka itu bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata kebanyakan anggota PBBM bersikap talam dua muka dengan memberi sokongan di hadapan kepimpinan UMNO, namun bila di belakang mereka menghina UMNO.
Sementara itu, Idris berkata Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang bakal bermula esok hingga Sabtu ini akan menjadi platform untuk menyatukan pemikiran anggota parti UMNO ke arah persediaan menghadapi PRU14.
“Kita tidak boleh lagi terlalu diamuk sentimen politik sempit yang dibawa oleh mereka yang kecewa terhadap parti UMNO kononnya mereka tidak diberi layanan yang sebenarnya.
“Atau suara mereka tidak didengari apabila membawa isu berkaitan kepimpinan parti yang mereka bayangkan seolah-olah dalam keadaan cukup lemah.
“Sedangkan hakikatnya kita mengetahui masih lagi terdapat elemen sokongan dan dokongan yang padu terhadap kepimpinan UMNO.
“Walaupun hari ini kita lihat terdapat banyak fitnah yang dilemparkan terhadap UMNO, ia langsung tidak menggugat institusi, presiden dan kepimpinan parti,” katanya.
Beliau berkata UMNO masih merupakan parti yang kukuh dan tiada kegusaran dalam kalangan anggota UMNO di seluruh negara dan mereka tetap berada di belakang presiden untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara. – BERNAMA