KUALA LUMPUR – Kejadian pembakaran al-Quran oleh seorang wanita secara terbuka di tepi Jalan Kompleks Hijau, Puchong Perdana, dekat sini, tengah hari tadi, adalah untuk tujuan pelupusan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari berkata hasil siasatan mendapati wanita itu tidak berniat untuk menghina mana-mana agama khususnya agama Islam.
“Sebanyak 20 naskhah kitab suci berkenaan dibakar pada kira-kira 12.30 tengah hari tadi oleh wanita itu yang merupakan pemilik kedai menjual kitab agama dan pakaian berunsurkan Islam.
“Tujuan pembakaran dilakukan kerana naskhah al-Quran tersebut telah rosak dimakan anai-anai dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Mohammad Azlin berkata kes itu menjadi viral selepas beberapa individu yang melihat pembakaran kitab suci itu mengambil gambar dan memuat naik di laman sosial Facebook sehingga menjadi perhatian netizen.
Ditanya sekiranya pembakaran kita suci berkenaan adalah mengikut prosedur atau sebaliknya, Mohammad Azlin berkata pembakaran yang dilakukan wanita itu adalah tidak mengikut prosedur yang ditetapkan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Bagaimanapun, seorang ahli kariah masjid As-Salam Puchong Perdana telah bertindak mengambil kesemua sisa naskhah kitab suci itu untuk dilupuskan dengan cara yang lebih sempurna,” katanya.
Mohammad Azlin berkata pihaknya setakat ini tidak lagi menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi buruk atas kejadian pelupusan kitab suci berkenaan kerana ia tidak melibatkan cubaan mana-mana pihak dalam mempersendakan agama,” katanya.
Sejak petang tadi, tersebar gambar seorang wanita bersama beberapa individu yang sedang membakar al-Quran secara terbuka di tepi jalan Kompleks Hijau, Puchong Perdana di laman sosial Facebook yang dimuat naik oleh akaun Facebook yang menggunakan nama Romen Ayu Lavender. – BERNAMA