NGILU…seorang graduan hampir buta selepas sebahagian bola matanya terkoyak ketika dia cuba membuka kanta lekap yang dipakainya selama 10 jam.
Meabh McHugh-Hill, 23, mengalami keadaan berkenaan kerana memakai kanta lekap terlalu lama dan ia melekat di matanya ketika cuba membuka kanta terbabit.
Keadaan itu memaksa Meabh dimasukkan ke hospital dan dia terpaksa berada di dalam bilik yang gelap selama lima hari bagi mengelakkan terkena pancaran matahari, yang sekali gus boleh mendatangkan kesakitan kepadanya.
Nasib baik matanya berjaya diselamatkan dan Meabh telah diberi amaran supaya tidak lagi memakai kanta lekap, lapor The Mirror.
Meabh berasal dari Belfast namun menuntut di Liverpool ketika mengulas mengenai pengalaman menyakitkan itu berkata: “Saya menderita kesakitan yang amat sangat selama seminggu. Pandangan saya dah okay sekarang ini tetapi mata saya masih sensitif.
“Saya sangat bernasib baik. Saya boleh menjadi buta. Saya tidak menyedari betapa bahayanya memakai kanta lekap dan cuba menanggalkannya seperti selalu namun disebabkan mata saya terlalu kering, kanta lekap itu melekat pada bola mata saya.”
Dia memakai kanta lekap sejak berusia 16 tahun kerana tidak suka memakai cermin mata. Dia biasanya hanya memakai pada waktu malam tetapi selepas memasuki universiti, Meabh terpaksa memakainya dengan kerap.
Meabh juga sering mengalami mata kering dan jangkitan mata. – MYNEWSHUB.CC