NAMPAKNYA buaya ganas pun tidak ketinggalan mahu belajar di sekolah. Selepas reptilia itu pernah dirakamkan bersiar di jalan raya Kota Kinabalu, Sabah, kali ini negeri jirannya pula!
Kemunculan seekor buaya sepanjang kira-kira 2.4 meter di Sekolah Kebangsaan Sungai Lingkau, Simunjan, Sarawak semalam mencetuskan situasi cemas di sekolah rendah berkenaan.
Menurut laman berita tempatan Utusan Borneo Online, difahamkan reptilia betina sepanjang 8 kaki itu dipercayai tersesat dari sungai berhampiran ketika air pasang besar melanda pada lewat Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian buaya sesat pada pukul 9.47 malam dan tiba di sekolah itu pada 10.20 malam.
Beberapa keping foto turut dikongsi menerusi sebuah laman di Facebook menunjukkan beberapa anggota JBPM bertungkus lumus cuba menangkap reptilia itu.
Seramai tujuh anggota dari JBPMĀ telah bergegas ke tempat kejadian dan operasi penangkapan dilakukan menggunakan peralatan seperti jaring, guni dan tali sebelum ditarik ke kawasan lapang untuk mengikatnya.
Operasi unik tersebut berakhir pada pukul 10.59 malam dan reptilia betina itu kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Perhutanan Sarawak untuk tindakan lanjut.
Sumber: Utusan Borneo Online