SEORANG kanak-kanak berusia 2 tahun terpaksa menahan kesakitan selepas jarinya tersangkut pada penapis sinki di kediamannya di Alor Pongsu, Perak, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu, jari telunjuk Mohd Iffan Hazik Mohd Syaful tersangkut ketika membasuh tangan di sinki rumahnya.
Mangsa dipercayai menjolok jari ke lubang sinki berkenaan menyebabkan jarinya tersangkut dan terpaksa menahan kesakitan lebih setengah jam .
Difahamkan, keluarga mangsa cuba mengeluarkan jarinya dengan menggunakan minyak dan sabun namun gagal.
Ahli keluarga mangsa membuka skru besi pada penapis sinki dan membawa kanak-kanak lelaki itu ke Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai untuk bantuan.
Jari kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan selepas anggota bomba memotong besi penapis dengan menggunakan alat pemotong khas.
Mohd Iffan dibawa ke Klinik Kesihatan Bagan Serai untuk menerima rawatan. – MYNEWSHUB.CC