STOCKHOLM – Seorang cef dan juga selebriti terkenal Sweden, Anders Vendel, teruk dibelasah tiga lelaki hanya kerana wajahnya mirip bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Mangsa mendakwa, dia diserang oleh tiga orang tersebut yang tidak dikenali pada pagi Sabtu minggu lalu dan suspek malah memegang kuat tangannya sebelum mereka bertindak kejam memukul dirinya sebanyak 20 kali.
Insiden serangan yang berlaku di sebuah premis makanan segera di bandar Malmo kira-kira 613 kilometer dari ibu kota Sweden itu mengakibatkan Anders mengalami patah tulang hidung dan lebam di salah satu matanya.
Selain itu, mulut dan rahangnya juga luka. Pihak polis Sweden kini dilaporkan sedang menangani kes pelik tersebut yang terjadi di bandar sempadan terletak hanya 43 kilometer dari Copenhagen, ibu negara jirannya, Denmark.
“Saya dipukul oleh tiga lelaki berkenaan dalam anggaran usia antara 25 hingga 35 tahun. Mereka menyatakan, wajah saya konon mirip muka Trump,” ujar Anders menerusi catatan dalam akaun laman sosial Facebook miliknya.
“Dua daripada suspek memegang erat tangan saya dari belakang. Saya cuba pertahan diri dengan menggunakan kaki tetapi tidak berdaya. Setelah dibelasah sekitar 20 pukulan, saya rebah di atas lantai,” tambah beliau lagi.
Setelah tersungkur, Anders menyatakan, tiga penyerang itu masih lagi menendang tubuh badan dan kepalanya. Ini menyebabkan tulang hidungnya patah, manakala lebam pada mata, bibir dan rahang kanan mangsa.
Akhbar Sweden yang berbahasa Inggeris, The Local melaporkan, Anders menyatakan, ketiga-tiga orang lelaki yang memukulinya dipercayai berketurunan Timur Tengah kerana dia mendengar mereka berbicara dalam bahasa Arab.
Kisah malang Anders itu bagaimanapun mendapat perhatian luas banyak laman web berita antarabangsa yang diketahui sebagai memang benci kepada kumpulan pendatang asing dan anti-Islam terutama di AS sendiri.
Akibatnya, Anders kini berasa bimbang, kisah sedih yang dimuatnaiknya ke Facebook itu turut digunakan oleh kelompok yang tidak bertanggung jawab untuk menyebarkan perasaan sentimen kebencian dan berbaur rasis.
“Saya sedang marah, sakit, dan diaibkan ketika menulis kisah duka itu sebelum memuatnaiknya ke media sosial. Saya tidak tahu apa yang saya fikirkan ketika itu,” ujar Anders yang terkejut dengan kesan berita tersebut.
“Saya sebenarnya bukan seorang rasis, bahkan setelah apa yang buruk itu menimpa saya. Pelakunya boleh jadi sesiapa sahaja, mujur saya masih hidup dan saya tidak apa-apa,” jelas Anders lagi kepada harian The Local.
Sementara itu, jurucakap polis Malmo menyatakan, mangsa ketika kejadian itu sedang menghampiri sebuah premis makanan segera sebelum seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba datang dan memulakan pertengkaran mulut.
“Situasi ini memuncak kemudian menjadi perkelahian serius dan suspek tersebut bertindak ganas memukul pengadu,” ujar jurucakap polis bandar tersebut kepada akhbar tempatan berbahasa Sweden, Sydsvenskan.
“Dia jatuh ke lantai, ditendang hingga cedera. Beberapa orang lain bawa mangsa ke sebuah hospital,” tambah polis. Setakat ini polis belum mengenal pasti identitas suspek dan motif kejadian. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA