KUALA LUMPUR – Prasarana berjaya menjimatkan berjuta ringgit kos operasi ekoran terciptanya sejenis sistem penyejuk Aliran Transit Ringan (LRT) oleh enam kakitangan teknikal Rapid Rail Sdn Bhd.
Alat yang dihasilkan dengan modal tidak sampai RM5,000 berkemampuan menyejukkan ‘Linear Induction Motor’ (LIM) yang sering menjadi punca gangguan kelancaran pergerakan tren, terutama bagi aliran Kelana Jaya.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini, berkata inovasi itu dihasilkan oleh Muhammad Firdauss Ab Jalil, Muizzuddin Mohamad, Mohd Nazri Ismail, Ahmad Mahazam Mat Zaid, Muhammad Nor Ahmad Shupi dan Fahkri Noor Ramli, kesemuanya staf di Jabatan Tren (Rolling Stock) LRT.
“Alat pengujian ini yang bermodalkan kurang daripada RM5,000 mula dihasilkan awal tahun lepas serta mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.
“Alat ini kini telahpun digunakan dalam operasi seharian perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya untuk tren-tren empat gerabak yang dikeluarkan oleh Bombardier,” menurut kenyataan itu.
Enam kakitangan tersebut dinobatkan sebagai juara dalam saingan ‘Team Excellence’ peringkat kebangsaan pada Persidangan dan Ekspo Tahunan Produktiviti dan Inovasi Kebangsaan 2016 di Putrajaya baru-baru ini.
Ciptaan itu turut diiktiraf oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan mereka berpeluang mewakili negara pada Persidangan Antarabangsa QCC Asia Pasifik, di Manila, Filipina tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata beliau akan terus menggalakkan tradisi berinovasi untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi. – BERNAMA