BATU PAHAT – Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata penganjuran perhimpunan Bersih 5.0 esok, lebih bertujuan untuk menjadikan rakyat emosional terhadap kerajaan, bukannya menuntut pilihan raya yang bersih.
Perhimpunan haram itu dipromosi lebih bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan hari ini dengan cara menggunakan pintu belakang melalui demonstrasi dan sebagainya, katanya selepas merasmikan program ‘Jasa Sepakat’, di Kampung Sri Merlong, Rengit malam tadi.
“Apa yang ingin diperjuangkan oleh Bersih sebenarnya tidak jelas, mereka menggunakan alasan untuk memperjuangkan pilihan raya yang bersih, namun telah terbukti Pilihan Raya di Sungai Besar dan sebagainya mereka (pembangkang) tetap kalah,” katanya.
Mohd Puad berkata rakyat semakin bijak dalam menilai berita yang disebarkan menerusi media sosial dengan tidak menerimanya 100 peratus dan itu memaksa pihak pembangkang menggunakan cara lama dengan mengadakan demonstrasi selain ceramah umum yang hanya membawa emosi dan isu lama. – BERNAMA