KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad cemburu terhadap kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik pelaburan besar berjumlah RM144 bilion dari China, kata Menteri Pelancongan dan kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata kesanggupan China, selaku ekonomi kedua terbesar dunia, membuat pelaburan sebegitu besar ke negara ini menunjukkan keyakinan China serta dunia terhadap kestabilan negara di bawah tadbir urus dan pimpinan Najib.
“Selama ini, dia (Dr Mahathir) bercerita duit keluar, orang tidak yakin untuk melabur di negara ini,” katanya ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, bekas perdana menteri itu dilaporkan memberi amaran bahawa beberapa perjanjian yang dimeterai oleh Najib dengan China mungkin mampu menggugat kedaulatan Malaysia termasuk tuntutan wilayah Malaysia di Laut China Selatan yang juga dituntut oleh China.
Lawatan rasmi Najib selama enam hari ke negara itu melakarkan pencapaian bersejarah menerusi pemeterian 14 Memorandum Persefahaman (MoU) yang bernilai RM144 bilion dengan China.
“Mohamed Nazri berkata ia adalah perkembangan positif, sekali gus menolak kenyataan Dr Mahathir selama ini bahawa ekonomi dan kestabilan negara bawah pimpinan kerajaan kini berada dalam keadaan goyah.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perjanjian dengan China itu tidak akan menjejaskan hak Malaysia dalam pertikaian kedua-dua negara itu di wilayah Laut China Selatan.
Katanya, selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas isu maritim negara, segala hak Malaysia akan terus dipertahankan. – BERNAMA