PUTRAJAYA – Dua pendaki Malaysia yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran bertekad untuk menawan puncak gunung setinggi 5,610 meter itu sebelum disahkan hilang pada Isnin lepas.
Ketua Ekspedisi, Rozaimi Md Said berkata lapan daripada 12 anggota kumpulan mereka memulakan pendakian ke puncak ketika cuaca baik dari kem tiga pada ketinggian 4,200 meter pada awal pagi.
Menurutnya hanya dua daripada mereka berjaya ke puncak manakala enam lagi pendaki diarahkan turun semula daripada ketinggian 5,200 meter antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang kerana masa tidak mencukupi untuk sampai ke puncak.
Bagaimanapun, dua pendaki yang hilang Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dan Ramli Abd Majid, 44, bertekad menyertai seorang pendaki Turki ke puncak walaupun dinasihati untuk turun semula ke kem tiga kerana waktu tidak mencukupi.
“Pada pukul 6 petang pendaki Turki itu pulang ke kem tiga dan memberitahu Ramli dan Syed Redzuan meneruskan pendakian ke puncak sewaktu beliau berpatah balik pada pukul 3.45 petang pada ketinggian 5,400 meter,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Rozaimi yang dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp dan masih berada di Iran berkata rakan mangsa menghubungi pasukan keselamatan selepas kedua-dua pendaki terbabit masih tidak pulang ke kem tiga pada pukul 9 malam hari yang sama.
“Hingga kini setelah lebih 40 jam, mereka tidak kembali ke kem tiga dan usaha menyelamat sedang berjalan daripada pelbagai arah oleh Pasukan Bulan Sabit Merah Iran,” katanya.
Menurut Rozaimi, sembilan daripada ahli ekspedisi itu telah pulang ke tanah air hari ini.
Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini turut mengesahkan kehilangan dua pendaki tersebut dan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Kementerian itu turut menasihatkan warga Malaysia yang menetap atau mengadakan perjalanan ke luar negara untuk mendaftarkan diri di Pejabat Perwakilan Malaysia di negara yang dituju terutama bagi tujuan kecemasan. – BERNAMA