PETALING JAYA – Penyanyi Ezad Lazim memberitahu dia cuba mendapatkan rawatan perubatan secara Islam bagi memulihkan semangatnya selepas mengalami masalah usus sejak Jun lalu.
Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 37, berkata, sepanjang mengalami sakit berkenaan emosi dia sering terganggu kerana tertekan dengan masalah itu namun dia bersyukur keadaannya semakin pulih.
“Sebelum ini saya tidak tahu apa penyakit saya sebab sering muntah-muntah dan beberapa kali dimasukkan ke hospital.
“Penyakit saya ini membuatkan emosi saya jadi tidak stabil kerana tertekan.
“Alhamdulillah selepas mendapatkan rawatan perubatan Islam untuk memulihkan semangat saya bertambah baik,” katanya kepada mStar Online.
Ezad ditemui pada sidang media Muzik-Muzik 31 Separuh Akhir di sini, Selasa.
Lagu nyanyian Ezad iaitu Demi Cinta ciptaannya bersama Mohd Yasin dan lirik Iman Imran bakal berentap bersama 30 lagu lain yang turut dicalonkan.
Dalam pada itu, Ezad berkata, masalah usus yang dialaminya semakin pulih namun dia masih perlu mengamalkan diet selain tidak boleh mengambil makanan pedas.
“Sekarang kesihatan saya sudah 80 peratus pulih daripada penyakit tetapi saya perlu mengawal pemakanan dan tidak boleh makan dengan kuantiti banyak dalam satu-satu masa.
“Makanan pedas pun saya tidak boleh (makan) nanti saya akan muntah dan perut saya akan jadi sakit,” ujarnya.
Tambah Ezad berat badannya turut menurun kepada 53 kilogram daripada 65 kilogram sebelum sakit.
Dalam perkembangan lain, Ezad berkata, dia bersyukur lagu Demi Cinta layak ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik kerana sudah lama tidak beraksi di pentas berprestij itu.
Tidak mengharapkan lagu berkenaan terpilih ke peringkat akhir, Ezad berkata, dia akan memberikan yang terbaik pada persembahan itu nanti.
Ezad akan bertanding pada minggu pertama separuh akhir yang diadakan pada 4 November ini di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam dekat sini pukul 9 malam. – mStar Online