Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Jambatan Batang Sadong Ubah...

KUCHING - Landskap pekan Sebuyau, perkampungan nelayan kira-kira 50km dari sini yang terkenal...

Tawar 4 Kerusi Untuk...

PRN JOHOR | PAS berminat untuk meletakkan calon mereka di semua kerusi yang...

76 Pelajar MRSM Tun...

PEKAN - Seramai 76 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak...

Penentang Tembak Jatuh Pesawat...

Beirut - Kumpulan penentang rejim Syria menembak jatuh sebuah pesawat di selatan bandar...

GMMF Perbanyakkan Program Ekstremisme Kepada Pelajar

AMMAN – Global Movement of Moderates Foundation (GMMF) akan memperluaskan program penerangan berkaitan isu Wasatiyyah atau kesederhanaan terutama dalam menangani ekstremisme, kepada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa berkata susulan kejayaan penganjuran Seminar Menangani Keganasan Ekstremisme yang dianjurkan bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) pada Jumaat dan Sabtu, GMMMF akan mengadakan program seumpama itu di negara-negara yang ramai pelajar Malaysia.

Katanya sudah ada perbincangan dengan beberapa perwakilan di luar negara seperti di United Kingdom, Indonesia dan China untuk program itu, yang bertujuan mempromosikan agenda kesederhanaan dan memberi pendedahan kepada pelajar Malaysia supaya tidak mudah terjebak dengan ajakan-ajakan kepada aktiviti keganasan.

“Selepas ini akan diadakan di Indonesia…telah ada persefahaman dengan kedutaan dan Education Malaysia di sana untuk kita adakan program di Jakarta, Medan dan Makasar. Selepas itu ita akan ke negara-negara lain yang ramai pelajar Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sewaktu seminar itu di Universiti of Jordan di sini pada Sabtu.

Katanya GMMF mahu memberikan pendedahan kepada orang ramai terutama belia tentang usaha-usaha menangani ekstremisme sama ada dengan cara ‘soft approach’ atau ‘hard approach’.

“Kerana itu dalam program penerangan kita, kita libatkan sekali Polis Diraja Malaysia kerana mereka terlibat secara langsung dalam menangani isu-isu ekstremisme ini,” katanya.

Ditanya tentang kurangnya koordinasi antara pihak keselamatan dan pihak berkuasa dalam membendung isu ekstremisme agama, Nasharudin berkata GMMF bersedia menjadi koordinator bagi memastikan maklumat berkaitan isu itu dikongsi semua pihak terlibat dan bekerjasama dalam membendungnya sejak dari awal.

Katanya Malaysia telah membangkitkan isu kesederhanaan ini sejak 2010 lagi ketika isu ekstremisme belum lagi mencapai tahap yang begitu serius seperti ketika ini.

“Walaupun tidak seperti keadaan ketika ini, pada masa itu sudah ada isu keganasan seperti Jemaah Islamiyah dan Al-Qaeda selain itu imej Islam itu cuba dikotori. Masa itulah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan inisiatif GMM,” katanya, sambil menambah inisiatif itu dilihat sudah menjadi sebutan dan mendapat respons positif di peringkat antarabangsa.


“Saya terus menerus mendapat jemputan untuk memberikan penerangan mengenai kesederhanaan ini. Malah GMMF sudah didatangi beberapa duta dan ketua perwakilan asing yang menjemput kita untuk memperkatakan tentang usaha menangani keganasan di negara mereka,” katanya.

Seminar selama dua hari bermula Jumaat itu dihadiri oleh lebih 400 orang pelajar Malaysia di Jordan. Diadakan sempena Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Se-Jordan kali ke-11 (PERMATA XI), seminar itu diharap akan mempromosi nilai kesederhanaan dan Wasatiyyah untuk membanteras penyebaran ancaman ideologi ekstrem dalam kalangan belia Malaysia.

Selain Nasharudin, Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Wan Kamal Mujani turut membentangkan kertas kerja pada seminar itu.

GMMF ditubuhkan sebagai pusat rujukan utama bagi penyelarasan dan penyebaran maklumat serta bahan kempen kepada semua pihak yang mahu menyertai usaha menentang ekstremisme.

Yayasan keintelektualan ini memfokus kepada kewujudan keamanan bersama, urus tadbir dan peraturan undang-undang, kewangan dan ekonomi, pendidikan, penyelesaian konflik, mengurus Islamophobia dan menangani keganasan melampau.

Pada seminar itu, Nasharudin turut melancarkan Kelab GMM Jordan, yang beliau sifatkan usaha awal GMMF untuk mewujudkan lebih banyak kelab seperti itu di universiti-universiti.

“Selepas ini akan diwujudkan di UKM dan Universiti Utara Malaysia. Di Laos juga ada minat ditunjukkan oleh pelajar-pelajar Laos khususnya daripada fakulti undang-undang dan antarabangsa. Kelab ini akan berperanan sebagai ‘contact points’ kita,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori