SHAH ALAM – Penyanyi Intan Sarafina mengakui sedar ada segelintir pihak dalam industri yang tidak senang dan masih mempertikaikan kemampuannya dalam program Gegar Vaganza 3.
Intan atau nama sebenarnya Intan Sarafina Ungku Yahya, 35, bagaimanapun berkata, perkara itu membuatkan dia rasa tercabar untuk membuktikan kemampuan sebenarnya dalam pertandingan yang kini sudah memasuki minggu keempat.
“Tekanan itu memang sangat hebat kerana saya tahu ramai orang tidak suka saya dan tuduh saya ambil tempat Maya serta mempertikaikan kemampuan saya untuk menyanyi.
“Mereka ingin lihat saya terkeluar pada setiap minggu tapi saya cabar diri saya untuk terus berikan persembahan terbaik walaupun saya antara peserta underdog dalam program ini,” ujarnya kepada mStar Online.
Intan menjelaskan gosip di ruangan pojok sebuah akhbar mingguan yang melaporkan namanya pula dituduh sebagai punca penyanyi Maya Ruslee tidak terpilih pada Gegar Vaganza musim ketiga ini.
Laporan itu turut memberitahu, beberapa penyanyi dan penggiat seni muzik tempatan yang masih tidak berpuas hati dengan pemilihan penyanyi itu dan mempertikaikan kemampuannya untuk bersaing pada pentas tersebut.
Intan pada konsert minggu keempat yang diadakan di Auditorium MBSA, malam Ahad itu menyampaikan lagu Aku Yang Tersakiti bersama penyanyi Fazli Zainal.
Persembahannya pada malam tersebut turut mendapat komen positif juri tetap dan mandapat markah keempat tertinggi selepas Nora Ariffin.
Dalam pada itu, Intan menjelaskan hubungannya dengan penyanyi Maya tidak mempunyai sebarang masalah.
“Saya tidak tahu siapa yang bercakap tentang perkara ini tidak tahu perkara sebenar. Saya dengan Maya baik-baik sahaja dan kami baharu selesai sertai sebuah program bersama.
“Saya juga sedih Maya tidak dapat sertai program ini dan mungkin belum rezeki dia tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Intan berkata, dia sentiasa berfikiran positif dan fokus untuk persembahan pada minggu hadapan.
“Saya tidak kisah kalau orang tidak suka, sekarang saya hanya fikir positif dan ingin beri perbaiki lagi persembahan saya setiap minggu,” ujarnya. – mStar Online