TANJONG KARANG – Masyarakat perlu memberi kerjasama dan menghormati tugas anggota penguatkuasa agensi kerajaan kerana mereka hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, anggota penguatkuasa hanya melaksanakan perintah mengikut undang-undang yang disediakan dan tidak lebih dari itu.
“Sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang dikenakan, mereka boleh membawa perkara berkenaan kepada pihak atasan atau ke mahkamah, biar pihak yang berwajib tentukan tindakan anggota berkenaan sah di sisi undang-undang atau tidak.
“Masyarakat tidak boleh mengambil tindakan sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyempurnakan Majlis Khatan beramai-ramai di sini hari ini.
Sebanyak 180 kanak-kanak berusia antara 2 tahun hingga 12 tahun menyertai majlis berkenaan yang dianjurkan UMNO Bahagian Tanjong Karang.
Noh berkata demikian ketika mengulas insiden dua anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam dikasari sepasang suami isteri ketika menjalankan tugas di Sungai Buloh Khamis lalu.
Pasangan suami isteri itu kemudian dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam semalam dan turut diarahkan membayar denda RM3,000 atau penjara tujuh hari lagi sekiranya gagal membayar denda.
Tambah Noh, setiap undang-undang digubal dan dikuatkuasakan adalah bagi menjaga kepentingan dan keselamatan orang awam dan ia perlu dihormati.
“Undang-undang tidak bermakna jika ia tidak dikuatkuasakan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Noh berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha UMNO untuk mengekalkan tradisi berkhatan yang lengkap dengan acara tepung tawar, bersanding dan bersiram.
“Ibubapa hanya dikenakan bayaran RM40 untuk seorang anak, manakala baki sebanyak RM100 akan ditanggung oleh UMNO Bahagian Tanjong Karang,” jelasnya. – BERNAMA