BANGKOK – Seekor ikan laga tempatan yang memiliki sisik mirip warna bendera rasmi Thailand telah dibeli dengan harga 53,500 baht (RM6,608) menerusi proses bidaan secara dalam talian.
Harga cukup lumayan tersebut sekali gus menjadikannya sebagai ikan paling mahal dalam spesies tersebut yang pernah dijual di dunia, menurut laporan media antarabangsa.
Ikan itu, yang ada garisan melintang berwarna merah, biru dan putih di badannya, mencetuskan sensasi selepas pembiaknya, Kachen Worachai memuat naik gambar menerusi laman bidaan ikan laga di Facebook.
Kata Kachen, pada awalnya dia menjangka ikan itu akan dijual hanya pada harga beberapa ribu baht sahaja, namun dia terkejut apabila bidaan mencecah angka 10,000 baht (kira-kira RM1,237) pada hari kedua.
“Saya tidak pernah sama sekali sangka ikan saya akan mencapai harga ini,” kata Kachen, 40, yang merupakan seorang pemilik kedai serbaneka yang membiak ikan laga sebagai hobi.
Gambar ikan laga tersebut dimuat naik pada 6 November lalu dengan asalnya harga bidaan pembukaan cuma 99 baht (RM12) sebelum ditutup lelongan itu pada 8 November.
Sebelum ini, terdapat beberapa cubaan oleh pembiak lain untuk membiakkan ikan dengan jaluran warna bendera Thailand pada badannya, namun masih belum ada yang berjaya.
Menurut Kachen, harga tertinggi bagi bidaan ikan laga setakat ini ialah 23,500 baht (kira-kira RM2,908).
“Kemungkinan untuk mendapatkan ikan dengan warna mirip bendera Thai ini adalah satu di dalam 100,000 ekor sahaja.
“Jadi, ramai yang cuba untuk membiakkan ikan dengan harapan dapat warna-warna ini, namun nasib lebih menyebelahi saya,” kata Kachen lagi. – MYNEWSHUB.CC