SUNGAI PETANI – Industri jagung bijirin mampu menjana pendapatan baharu kepada petani jika ia dihasilkan secara komersial.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika petani mampu menghasilkan 30 peratus daripada jagung bijirin untuk negara, ia mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1 bilion.
Menurutnya, ketika ini negara masih mengimport sepenuhnya bijirin sebanyak 4 juta tan metrik setahun dengan nilai RM3.1 bilion, untuk makanan ternakan terutama ayam.
“Sebab itu kita telah adakan beberapa projek perintis tanaman jagung bijirin ini iaitu di Kampung Dadong, Kemaman (Terengganu) dan di sini yang boleh menjadi penanda aras bagi penghasilan bijirin negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Projek Tanaman Jagung Bijirin, Kampung Sungai Batu, Mukim Bujang di sini, hari ini.
“Pengeluaran secara domestik bukan setakat mengurangkan pengeluaran wang ke luar negara malah mewujudkan peluang perniagaan yang besar untuk pengusaha,” katanya yang menegaskan harga import bijirin adalah sekitar RM1,000 satu tan metrik.
Beliau berkata antara negeri yang boleh dijadikan kawasan tanaman jagung bijirin adalah Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak berikutan ia memerlukan tempat yang tidak basah dan tanah rata bagi memudahkan mesin menuai membuat tuaian.
Selain itu, katanya peruntukan yang diterima kementeriannya melalui Bajet 2017 juga sedikit sebanyak boleh diperuntukan untuk membeli peralatan canggih yang boleh digunakan untuk industri berkenaan.
“Apa pun sekarang kita masih dalam projek perintis dan di peringkat mengumpul data untuk terus memperkembangkan industri ini yang kita jangka mengambil masa dalam tempoh lima tahun bagi proses selanjutnya,” katanya.
Ahmad Shabery berkata kementerian melihat keberkesanan tanaman jagung bijirin itu yang sebelum ini ramai berpendapat tidak sesuai untuk ditanam di negara ini.
“Ini sumber protein yang tinggi untuk makanan ayam dan jika dapat dihasilkan dalam negara, bijirin ini adalah lebih segar dan mampu mempercepatkan pembesaran ternakan.
“Selain bijirin, batang pokok ini juga boleh menghasilkan makanan untuk lembu dan teknik ini yang kita mahu pelajari,” katanya.
Sementara itu, pengusaha projek jagung bijirin, Ramana Naidu, 26, berkata tanah seluas lebih 36 hektar tersebut disewanya untuk mengusahakan tanaman berkenaan sejak beberapa bulan lalu yang mendapat bantuan sepenuhnya daripada Jabatan Pertanian.
Beliau berkata pada tahun hadapan sekurang-kurangnya 30 hektar lagi kawasan baharu akan diusahakannya dan berharap lebih ramai anak muda dapat bersamanya melalui konsep mentor mentee. – BERNAMA