DUNGUN – Rakyat Terengganu diminta tidak terpedaya dengan iklan perjawatan pasukan polis seperti yang tersebar di laman sosial memandangkan pengambilan berkenaan tidak wujud.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata sebaliknya mereka perlu melayari laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk kesahihan mengenai perjawatan berkenaan.
“Tindakan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu telah mengelirukan ramai pihak dan ada di antaranya pergi ke lokasi yang dimaksudkan bagi mengisi jawatan tersebut.
“Pengambilan itu tidak benar jadi kita minta kepada mereka yang berminat menyertai pasukan polis boleh memohon dengan melayari laman web SPA.
“Jadi kita nasihatkan orang ramai jangan cepat terpengaruh dan terus serbu ke lokasi yang tertera tanpa memeriksanya terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Konstabel sokongan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Dungun, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 121 orang konstabel sokongan dari seluruh negara berjaya menamatkan latihan selama empat bulan dan didedahkan dengan pelbagai ilmu kepolisan.
Rosli berkata kesemua mereka akan ditempatkan di seluruh kontinjen dan di Sabah akan menerima penempatan paling ramai iaitu seramai 20 orang, diikuti Selangor 16 orang dan Bukit Aman seramai 15 orang.
Sementara itu, Rosli berkata pada tahun hadapan PDRM menyasarkan pengambilan seramai 1,781 kekuatan melibatkan pangkat konstabel sokongan sehingga ke inspektor.
Jelasnya daripada jumlah itu, 60 daripadanya melibatkan pengambilan jawatan konstabel lelaki dan wanita dari kalangan Orang Asli manakala 224 orang melibatkan jawatan inspektor lelaki dan 1,270 membabitkan konstabel awam.
Dalam pada itu, peserta keseluruhan terbaik latihan tersebut, Konstabel Saperi Shaee, 37, ketika ditemui pemberita berkata pengalaman ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang siri latihan itu.
Beliau yang berasal dari Sarawak berkata perbezaan umur antara peserta lain juga adalah cabaran terbesar untuk menjalani latihan fizikal dan mental.
“Saya terpaksa menolak faktor usia untuk tampil bersaing dengan mereka yang jauh lebih muda dari saya…sememangnya pengalaman dalam tentera sedikit sebanyak membantu sehingga dinobatkan pelatih keseluruhan terbaik.
“Saya mula bersara dari ATM sejak empat tahun lalu sebelum mendapat tawaran ini…jadi peluang yang ada tidak akan saya sia-siakan untuk berkhidmat kepada negara,” katanya.
Bagi bekas seorang anggota polis bantuan Mohd Hafiz Roslan, 28, berkata minat yang mendalam dalam pasukan unit beruniform memberikan beliau semangat untuk memohon jawatan tersebut walaupun permohonannya pernah ditolak sebanyak empat kali sebelum ini.
“Saya tidak pernah putus asa…bila ada pengambilan baru saya akan isi dan alhamdulillah percubaan kali kelima baru berjaya,” katanya yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik kategori akademik. – BERNAMA