JIKA sebelum ini penyanyi Elly Mazlein, teguh menyatakan pendiriannya enggan kembali semula bertanding dalam Gegar Vaganza 3 (GV3), namun kali ini nampaknya, selebriti itu sudah berubah hati.
Ini ekoran Elly yang mesra dipanggil Kak Lina Pom Pom tidak menolak kemungkinan menyertai semula GV sekiranya diberi peluang menerusi sistem imuniti milik penaja utama program berkenaan, Datuk Seri Vida.
Kata Elly, 26, dia sedia menimbang semula demi para peminatnya yang mengharap dia dapat bertanding semula.
“Perkara ini ada pro dan juga kontra. Hampir 90 peratus mahu saya kembali semula ke GV3 jika diberi peluang, tetapi ada juga yang tidak bersetuju dengan memberi alasan perkara ini membabitkan soal maruah.
“Saya sendiri susah nak cakap kerana banyak hati yang perlu dijaga. Tetapi, kalau diikutkan hati, memang sekarang juga saya nak masuk semula.
“Tengoklah nanti macam mana. Kalau saya masuk balik, pasti akan ada komen negatif dan menghentam keputusan saya ambil itu.
“Tidak mengapa, saya pernah kena teruk sebelum ini. Lebih banyak mereka mengutuk saya, ia makin menguatkan semangat saya untuk menyertai semula GV3,” katanya kepada BH Online dalam majlis perlantikan majlis pelantikannya sebagai Duta Fesyen Neng Geulis.
Sementara itu, diminta mengulas komen pedas Ogy terhadapnya, Elly mengakui merasa terkilan dengan sikap pelakon senior itu.
“Dia (Ogy) boleh memilih cara lain untuk memberikan komen atau mengkritik saya, tetapi mengapa dirinya menggunakan laman sosial untuk berbuat demikian?
“Walaupun dia membuat serangan peribadi, saya tetap menghormatinya sebagai seorang yang lebih berusia dan berpengalaman daripada saya,” katanya.
Pada Ahad lalu, Elly telah pun bersemuka dengan juri tetap, Datuk Ramli MS menyelesaikan konflik yang berlaku antara mereka.
Sumber: BH Online