JOHOR BAHRU – Kejayaan kerajaan Johor dalam menjayakan pelbagai program wakaf untuk dinikmati umat Islam di negeri itu sejak akhir kurun ke-19 wajar dicontohi negeri-negeri lain.
Pujian itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika merasmikan Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 (PWAJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Beliau ketika berucap memberi contoh kejayaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperkenalkan konsep Saham Wakaf Johor yang merupakan program pertama seumpamanya dilaksanakan di negara ini.
“MAINJ sentiasa pelbagai pelan strategi perkasa aktiviti wakaf secara sistematik, bahkan sentiasa turun padang. Bermula gagasan tersebut, hari ini konsep itu turut dikembangkan potensi di banyak negeri di Malaysia,” tegasnya.
Turut hadir pada persidangan selama dua hari anjuran MAINJ itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin. Sebanyak 13 kertas kerja dibentangkan pada PWAJ yang disertai kira-kira 500 peserta tersebut.
Mengulas dengan lebih lanjut Jamil Khir berkata, beliau dimaklumkan seramai 45,134 individu sudah menyertai skim Saham Wakaf Johor yang berjaya menghasilkan kutipan dana terkumpul sebanyak RM45 juta setakat ini.
Ini membolehkan MAINJ melaksanakan 10 projek bagi membantu umat Islam di negeri tersebut dan paling baharu ialah kategori bantuan kesihatan iaitu Wakaf Mesin Dialisis dengan menyediakan 100 mesin bernilai RM4.5 juta.
Ia sekali gus membantu membiayai 8,230 pesakit buah pinggang yang miskin dengan anggaran kos RM18 juta dari 2010 hingga 2015 manakala untuk tahun ini sahaja 2,240 pesakit menerima manfaat dengan peruntukan RM41 juta.
“Jabatan Perdana Menteri menerusi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) melihat Johor memiliki potensi untuk mengembangkan program wakaf khususnya membangunkan projek atas tanah terbiar negeri ini,” jelas Jamil Khir.
Malah bermula pada tahun lalu ujar beliau, sebanyak tiga projek baharu di beberapa bidang tanah wakaf terpilih dibangunkan antaranya ialah projek sebuah pusat jagaan warga emas di tapak Masjid Taman Perling di sini.
Turut dirancang ialah pembinaan ruang niaga lima tingkat dan pusat dialisis di tanah wakaf Masjid Kota Tinggi serta sebuah kompleks fakir miskin selain ruang industri kecil dan sederhana yang bakal dimajukan di Mersing.
“Dalam pada itu, MAINJ turut ada jadual pembangunan harta wakaf yang aktif termasuk merancang pelaksanaan projek pembangunan perumahan Bandar Baru Uda untuk prasarana kediaman golongan miskin,” kata Jamil Khir.
Beliau menambah contoh, MAINJ juga merancang pembinaan francais Wakaf Mart di tapak Masjid Taman Perling untuk memberi peluang dan ruang usahawan Muslim yang berdaya maju meningkatkan pendapatan mereka.
Kejayaan program wakaf di Johor ujar Jamil Khir, membolehkan MAINJ membina 120 buah sekolah agama sebagai tambahan kepada 556 buah yang sedia ada sejajar imej Johor iaitu peneraju sistem pendidikan agama sejak 1918.
“Susulan kreativiti dijana sehingga pelbagai program wakaf berjaya dilaksanakan, saya sukacitanya ajak semua pihak lihat Johor sebagai salah satu negeri contoh dan teraju dalam jihad ekonomi,” katanya. – Mynewshub.cc/HAA