PETALING JAYA – Pelancong dari Australia yang dilaporkan hilang di Taman Negara Mulu telah menulis dalam blognya bahawa tujuan utama percutiannya adalah untuk ‘melihat dan merasai sendiri budaya sebenar penduduk tempatan di luar kawasan tarikan utama pelancongan, serta mendaki banyak gunung’.
Dalam satu artikel di laman sesawang ABC News, Andrew Gaskell, 25, dilaporkan telah berkata bahawa bermula pada bulan Ogos, beliau ‘akan memulakan perjalanan bermula dari satu tempat di Asia dan secara amnya menuju ke arah barat untuk tempoh masa yang tidak terbatas’.
“Dan mungkin, hanya mungkin, semasa perjalanan saya, saya akan menemui kesimpulan tentang siapa diri saya dan apa yang saya mahu lakukan dalam hidup saya. Jadi bermulalah perjalanan saya di luar lingkungan,” katanya.
Gambar terakhir Gaskell yang dimuat naik di laman Facebooknya adalah sekeping gambar Taman Negara Niah pada 15 Oktober, di mana beliau menyifatkannya sebagai ‘mungkin impian seorang jurugambar’.
“Jika saya berdepan seorang jurugambar satu hari nanti saya akan bertanya,” katanya, sambil menambah beliau telah menghabiskan masa selama enam malam berkhemah di situ.
Laporan Themercury.com.au menyatakan bahawa adik lelaki Gaskell, Ben dan bapanya David telah terbang ke Kuching pada malam Jumaat untuk membantu pihak berkuasa mengesan jurutera itu.
Gaskell, yang berasal dari Hobart, Tasmania, tetapi tinggal di Queensland baru-baru ini, dilaporkan hilang pada 20 Oktober.
Di Miri, Adun Telang Usan, Dennis Ngau, yang telah mengembara jauh di kawasan hutan di utara Sarawak, menggesa pihak berkuasa untuk membawa masuk pengesan kaum Penan dalam operasi mencari.
“Anggota mencari dan menyelamat sedang mencuba yang terbaik, tetapi mereka perlu mendapatkan lebih banyak bantuan daripada kaum Penan di Mulu untuk membantu mereka.
“Sebagai contoh, di Puncak Mulu di mana ia menjadi tumpuan carian. Kawasan itu hanya boleh dicapai dengan berjalan kaki dan hanya kaum Penan tahu selok-belok jalannya,” katanya.
Sehingga jam 3 petang Isnin, masih tidak dapat dipastikan di mana Gaskell berada.
Taman Negara Mulu mempunyai rangkaian gua yang luas, sungai bawah tanah dan gunung yang curam serta dinding batu kapur yang tajam. – mStar Online