Thursday, November 28, 2024

Creating liberating content

Misi SAR Ke Iran...

SEPANG - Empat pendaki dari Kelab Jelajah Alpine (KJA) hari ini berlepas ke...

Lawatan Raja Arab Saudi...

KUALA LUMPUR - Kunjungan rasmi kali pertama Raja Salman Abdul Aziz Al-Sa'ud dari...

Pasangan Sejenis Buat Kenduri...

SEMATA-MATA mahu 'feeling feeling' berkahwin seperti pasangan lain, pasangan sejenis di Boyolali, Jawa Tengah,...

ESSCom Tahan 22 PATI...

LAHAD DATU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan 22 pendatang...

Kafe Moden Saji Kuih Melayu Martabatkan Warisan

KUALA LUMPUR – Kalau dilihat sekali imbas, konsep kafe ini tidak ada jauh bezanya dengan yang lain, sama sahaja seperti mana-mana restoran bersaiz kecil yang sudah semakin banyak dibuka di ibu kota.

Malah, dekorasi ala barat sama ada vintaj, hipster, urban yang kini semakin popular di negara ini sentiasa menjadi kesukaan pemilik kafe dalam menghias premis mereka.

Jadi, tidak menghairankanlah apabila kebanyakan kita pastinya beranggapan kafe sedemikian menjadi tumpuan bagi peminat kopi mahupun pencuci mulut barat seperti kek, macaroon dan churros.

Namun apabila melangkah ke dalam sebuah kafe di Taman Sri Rampai ini, bukanlah deretan menu barat menghiasi ruang kaca peti sejuk sepertimana yang selalu disajikan.

“Ini keunikan yang cuba saya tampilkan. Tidak banyak kafe berdekorasi moden menyediakan kuih-muih warisan. Tetapi, saya nekad menyuntik pembaharuan dengan memilih menjual kuih tradisional berbanding barat.

“Ini cara saya memartabatkan pencuci mulut nenek moyang kita yang beraneka jenis dan membuktikan bahawa kuih-muih kita juga setanding dengan barat. Dan, saya lebih tertumpu kepada pembuatan kuih talam,” kata pemilik Seri Talam Cat Cafe, Zaiton Abd Mayas.

TEMPAT LEPAK

Impian wanita berusia 54 tahun ini sangat besar. Seboleh-bolehnya, beliau mahu mengubah persepsi masyarakat kononnya kuih warisan tidak sesuai untuk diangkat atau dijual di kafe-kafe sedemikian.

Apatah lagi, kebanyakan orang muda yang mengusahakan restoran berkonsepkan moden ini lebih gemar memilih untuk menyajikan menu masakan barat kerana merasakan ia ada gaya dan mengikut trend semasa.

“Ada nilai pasaran dan tarikan tersendiri ‘hidangan orang barat’ kerana boleh menarik orang ramai untuk minum dan makan bersama teman setelah habis waktu bekerja atau lepak semasa senggang,” itu kata mereka.

Disebabkan itulah, jarang sekali dapat melihat kelibat golongan muda yang komited mengusahakan perniagaan kuih-muih warisan. Kebiasaannya, ia dijual oleh makcik dan pakcik yang sudah berumur dan lokasinya pula di gerai-gerai tepi jalan dan pasar malam.

“Sebenarnya, ramai yang suka lepak petang makan kuih-muih tradisional. Tetapi, tidak banyak yang ada menawarkan tempat seperti itu.

“Kalau beli, kena makan bawa balik rumah atau singgah mana-mana restoran untuk lepak kerana kebanyakannya menjual tepi jalan,” kata Zaiton.

BUKAN ORANG TUA

Walhal, perniagaan kuih-muih tradisional sebenarnya mempunyai potensi sangat besar menjana pendapatan lumayan sekiranya kualiti dan kesedapan rasa asli juadah ini tidak dipinggirkan.

Namun sayang sekali, anak muda tidak menyedari akan nilai pasarannya kerana terlalu fokus kepada menu barat sedangkan ia adalah harta warisan nenek moyang yang sepatutnya dibangga dan dipertahankan.

“Siapa kata kuih-muih ini hanya diminati orang tua? Ramai yang suka juadah orang lama ini. Menyedari peluang yang ada, saya nekad mengembangkan bisnes ini dan menyediakan tempat yang selesa untuk orang makan.

“Lagipun, ini merupakan kafe kedua selepas membuka kedai pertama di Seksyen Dua Wangsa Maju, dua tahun lepas. Sambutan yang diterima di sini juga menggalakkan selepas empat bulan beroperasi,” katanya.

Pembukaan kafe kedua itu adalah bagi memenuhi permintaan pelanggannya yang banyak kali menyuruh wanita ini menambahkan lagi satu cawangan kerana ruang makan sedia ada agak sempit.

PULANGAN MENARIK

Jadi, siapa kata ia tidak mendatangkan pulangan menarik?

Apatah lagi, beliau sebelum ini hanya bermula dengan membuka gerai di tepi jalan pada 2010 sehingga mampu memiliki kedai dan kafe sendiri hasil penjualan kuih tradisonal.


Pencapaian membanggakan ini, membuktikan kerja kerasnya untuk memartabatkan pencuci mulut tradisi sudah boleh dianggap berjaya.

“Selain kedai dan kafe, saya diberi peluang untuk meletakkan kiosk di sebuah pejabat dan Hospital Pusrawi. Setiap hari, saya akan membekalkan sebanyak 200 paket, masing-masing di kedua-dua tempat itu yang mengandungi pelbagai jenis kuih talam.

“Menariknya, kuih-muih tradisional ini bukan sekadar untuk minum-minum petang. Tetapi, sesuai juga dihidangkan dalam pelbagai majlis. Banyak tempahan saya terima dari hotel, kenduri atau untuk majlis hari jadi. Dan, ia sepanjang masa,” kata bekas guru tadika ini.

HASIL BUAT SENDIRI

Mengunjungi dan melihat sendiri kafe wanita ini, pastinya ia akan mengujakan sesiapa sahaja. Selain ruang tempat makannya yang luas dan berhawa dingin, deretan jenis kuih tradisional beraneka warna, cantik bentuk dan lembut teksturnya tentu menarik perhatian.

Paling istimewa, wanita kelahiran Sekinchan, Selangor ini terkenal dengan kepandaiannya dalam pembuatan kuih talam. Malah, boleh dikatakan ada lebih 50 jenis kuih talam yang diciptakannya sendiri dijual di situ.

Kuih talam adalah antara pencuci mulut tradisi yang begitu popular dan mendapat permintaan tinggi dalam masyarakat berbilang bangsa. Ia bukanlah sejenis kuih yang khusus tetapi lazimnya juadah ini merujuk kepada cara pembuatan jenis kuih yang dibuat di dalam bekas talam atau loyang.

Kebiasaannya, corak asas kuih talam mempunyai dua lapis dengan salah satu daripadanya ialah lapisan putih. Antara kuih talam yang popular adalah seri muka, kuih lapis, tepung talam atau juga dikenali sebagai talam gula merah dan talam keladi.

Menariknya, harga untuk menikmati kuih talam di sini sangat murah. Dijual pada harga sekitar RM0.70 sehingga RM1.50 untuk sepotong beraneka talam dan kuih-muih tradisional lain, pelanggan dapat menikmatinya dalam keadaan sungguh selesa.

“Saya belajar buat kuih talam dengan emak sejak kecil ketika berusia 10 tahun. Kita orang susah, anak sulung daripada 12 beradik kenalah tolong emak berniaga.

“Emak saya dahulu, tidak payah sukat, timbang, terus jadi. Tetapi, saya buat pembaharuan untuk ada sukatan tertentu supaya kuih talam ini tidaklah terlalu manis, sesuai dimakan semua,” kata ibu tunggal kepada seorang anak lelaki ini.

INOVASI

Kepakaran yang dimilikinya itu, membolehkan Zaiton mempelbagaikan resepi kuih talamnya. Antara jenis talam yang diberi suntikan inovasi, adalah kuih lapis kacang merah, talam durian, talam suji, talam keladi berlauk dan talam lompat tikam.

“Pelanggan minta macam-macam. Ada yang hendak talam bercorakkan Jalur Gemilang, kita cuba buatkan. Ada pula yang minta talam durian, saya akan pastikan menggunakan durian betul dan bukannya perisa.

“Kualiti memang menjadi keutamaan. Saya tidak menggunakan tepung yang dijual dalam guni kerana ia bercampur aduk dan tidak berkualiti. Manakala, telur hanya gred A, santan segar dan bukannya santan kotak,” katanya.

Dibantu oleh 32 pekerja, setiap kuih akan dirasakannya terlebih dahulu sebelum ia dijual bagi memastikan rasa dan teskturnya tetap sama.

Cerewet mengenai kualiti, tidak menghairankanlah apabila wanita ini turut mendapat tempahan daripada orang kenamaan termasuk ibu kepada seorang pemimpin negara.

“Hari minggu adalah paling sibuk. Biasanya, kita akan sediakan 200-300 dulang sehari untuk beraneka jenis kuih. Satu talam, boleh dapat 50-100 potongan sekitar harga RM34 hingga RM50,” katanya.

Bagi menambah tarikan, Zaiton telah membuka galeri kucing bersebelahan kafenya bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk bermain dan bersantai dengan haiwan manja itu.

“Saya memang peminat kucing dan ada 40 ekor haiwan ini di galeri berkenaan. Sambil makan kuih talam, mereka juga boleh bergurau senda bersama kucing. Galeri ini, bukan di dalam kafe tetapi di bangunan sebelah kerana saya amat mementingkan kebersihan. Dan, bukan semua pelanggan suka kepada haiwan itu,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori