SEORANG kanak-kanak perempuan nyaris maut selepas diserang harimau ketika bersiar-siar di sebuah pasar di Arab Saudi, baru-baru ini.
Rakaman video ngeri tersebut berjaya dirakam dengan memaparkan kanak-kanak perempuan diterkam harimau yang dibawa berjalan oleh tuannya.
Dailymail melaporkan, haiwan tersebut dibawa bersiar-siar di kawasan awam di barat laut negara itu dan hanya beberapa meter jaraknya dengan orang ramai yang lalu lalang di situ.
Dalam rakaman tersebut, terdapat beberapa kanak-kanak yang melarikan diri ketika haiwan buas itu melalui kawasan pasar.
Malangnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia kira-kira enam tahun diterkam ketika menghampiri haiwan tersebut selain dicakar serta dihempap binatang liar itu.
Kanak-kanak itu menjerit ketakutan dan pemilik haiwan tersebut bertindak menarik haiwan peliharannya itu jauh daripada mangsa.
Rakaman tersebut berakhir ketika harimauitu menerkam mangsa, namun saksi mendakwa mangsa sempat diselamatkan dan tiada kecederaan serius dilaporkan.
Pengguna media sosial di negara itu kemudian mengkritik kejadian tersebut.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, golongan muda di beberapa negara Asia Barat gemar membela binatang buas sebagai haiwan peliharaan eksotik.
Pihak berkuasa kerap memberi amaran kepada orang ramai mengenai bahaya memelihara haiwan seperti itu di kediaman mereka.
Namun amalan itu dilihat sebagai simbol status, malah haiwan berkenaan juga boleh diiklankan dan dibeli dengan mudah melalui Internet. – MYNEWSHUB.CC