SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun terbunuh selepas dihempap oleh sebuah loker penyimpanan barang di sebuah pasar raya di China.
Menurut sebuah laman tempatan negara itu, difahamkan si ibu membawa anaknya itu untuk membeli buah-buahan di pasar raya terbabit.
Insiden berkenaan berlaku pada 14 November lalu di bandar Ankang, wilayah Shaanxi itu, dikatakan berpunca daripada sebuah loker setinggi hampir dua meter yang diletakkan di atas lantai yang curam.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di pasar raya tersebut, pasangan ibu dan anak dilihat sedang mengeluarkan beberapa barang dari dalam perut loker berkenaan dan membiarkan pintu loker itu terbuka.
Sejurus selepas itu loker berkenaan mula condong dan menimpa pasangan dua beranak itu.
Si ibu bernasib baik kerana terpelanting akibat ditolak oleh loker berkenaan dan hanya tersepit pada bahagian kaki kiri. Manakala anaknya menerima nasib lebih malang apabila tertimbus di bawah perut loker berkenaan.
Seorang pengunjung wanita pasar raya itu bergegas menghulurkan bantuan kepada mangsa sebelum dibantu oleh beberapa yang lain.
Selepas orang ramai mengangkat loker yang terjatuh itu dan meletakkannya kembali ke tempat asal, si ibu segera mendapatkan anaknya yang sudah tercedera dan mengalami pendarahan.
Kedua-duanya dibawa ke hospital untuk dirawat, namun kanak-kanak itu gagal diselamatkan kerana mengalami kecederaan serius di kepala manakala ibunya hanya mengalami keretakan pada bahagian kaki. – MYNEWSHUB.CC